Ciptakan perpustakaan di rumah!


Malam-malam ini sambil borak-borak dengan isteri sempat juga melayari katalog IKEA secara online. Katalog IKEA yang dulunya kalau tinggal di Shah Alam, ada orang hantar kat post box  sekarang tidak adalah bila dah jauh begini.

Melihat kepada reka bentuk tempat menyimpan buku yang kemas dan menarik di ruang tamu ataupun bilik bacaan khas atau ditepi ruang tv, saya terfikir alangkah baiknya kalau semua keluarga memikirkan sedikit sentuhan tempat menyimpan bahan bacaan ini.

Menyimpan tetapi mudah diambil pada bila-bila masa berlainan dengan menyimpan tetapi susah hendak dicari tidak kira masa.

Saya kira kalau kita selalu melihat buku-buku yang berada dalam almari buku ini, sekali sekala rasa juga hendak belek dan membacanya.  Bukannya hendak kata yang kita perlu membuat perpustakaan mini di rumah tetapi saya suka menggunakan perkataan mencipta sebuah perpustakaan di rumah. Boleh sahaja menggunakan sudut-sudut yang sesuai yang kita rasa elok untuk letakkan buku-buku kegemaran kita. Dari suatu segi ia juga menampilkan seni hiasan dalaman kita.

Dari koleksi buku orang boleh tahu apa yang digemari oleh kita. Kita lebih bersedia bercakap dengan apa yang kita baca daripada mereka yang tidak membaca apa-apa. Saya pernah membaca artikel tentang masyarakat Eropah mementingkan rekabentuk dalaman rumah yang perlu ada ruang bacaan. Mereka akan membeli buku-buku bagi menunjukkan mereka itu berpelajaran. Ianya suatu kebanggaan bila tetamu melihat dan bertanya tentang koleksi mereka, tetapi itu bukanlah niat saya bila mencadangkan topik ini.

Jika kita tidak berminat dengan koleksi buku maka apa akan jadi dengan koleksi buku peninggalan bapak atau datuk kita? Sudah tentu dibiar rosak begitu sahaja. Melalui koleksi buku ini generasi akan datang akan tahu minat bacaan datuk nenek mereka. Cuba bayangkan buku bacaan kita dahulu  dapat dibaca oleh anak-anak kita sekarang ini, tentu banyak cerita disebaliknya dapat kita kongsi bersama. Saya masih ingat buku pertama yang saya terima sebagai hadiah pelajaran di sekolah rendah dahulu 'Ferdinan silembu garang'. Tak tahu dah kemana buku itu sekarang ini. Kalau ada di kedai buku mahu sahaja beli buat koleksi sebagai ingatan untuk anak cucu.

Saya mempunyai seorang kawan yang mencadangkan agar setiap orang dalam taman kami yang mempunyai koleksi buku dapat memberi pinjaman sesama kawan dalam taman tersebut. Beliau berpendapat daripada buku koleksi kita terperap dalam almari biarlah orang lain dapat membacanya juga. Ideanya baik tetapi tidak ada tindakan susulan yang dibuat. Mungkin anda boleh usahakan di tempat anda.


Sekian. Kiasan Just Read ...Ciptalah perpustakaan ...tentu ada bacaan dan ilmupun mengalir masuk.




Comments

Popular Posts