Sunday, September 30, 2012

Adakah aku Pekerja Cemerlang tahun ini?


Setiap hujung tahun penilaian staf akan dibuat oleh ketua atau penyelia untuk memberi markah kecemerlangan staf mereka. Masing-masing mengharapkan merekalah yang akan dinobatkan sebagai pekerja cemerlang. Bila menerima gelaran tersebut ianya akan disusuli dengan ganjaran yang dimasukkan dalam akaun bank masing-masing. Walaupun sedikit RM yang diterima ianya tetap berbaloi.

Semua staf sudah pasti mengetahui bagaimana ketua menilai diri mereka. Kerana kriteria penilaian sudah diberikan awal-awal oleh bahagian pentadbiran. Hinggakan penilaian kendiri juga menjadi sebahagian dari rujukan penilaian keseluruhan tersebut. Jadi adakah anda Pekerja Cemerlang tahun ini? Jawapannya "Ya". Saya lah pekerja cemerlang tahun ini, tidak kira markah tinggi ataupun rendah. Cemerlang walaupun tanpa ganjaran? Jawapannya "Ya" ...walaupun tanpa ganjaran! Kerana ganjaran dari Allah melebihi apa yang saya terima sekarang ini. Hebatkan! kalau anda boleh jawab begitu. Sebenarnya ramai yang menerima dengan hati yang terbuka hakikat bahawa rezeki itu dari Allah. Barakahnya juga dari Dia. Jika kita bekerja dengan ikhlas dan tidak membazirkan masa kita dengan benda yang tidak menguntungkan majikan sudah tentu ganjaran yang kita terima setiap bulan itu elok dan cukup sahaja kegunaannya.



Cuba cemerlang selamanya ...InsyaAllah.
Tahniah kepada semua penjawat awam kerana menerima dua setengah bulan bonus... PM yang beri.

Perpustakaan Akademik 2012 - dulu dah fikir dah





Saya terbaca dalam satu artikel yang saya kemudiannya drafkan dalam blog ini lama dahulu. Saya post di sini intipati artikel tersebut buat pustakawan semua. Pada tahun 2003 pustakawan telah mencadangkan 3 perkara besar dalam bidang perpustakaan akademik yang perlu diberi perhatian pada tahun 2012. Kesempatan itu saya renung akan perpustakaan kami di sini. Banyak juga yang kami kena buat nampaknya bagi memenuhi sebahagian darinya.


Tiga perkara tersebut adalah seperti di bawah ini:
    A. Perkembangan Teknologi
    B. Fungsi Perpustakaan
    C. Peranan Pustakawan

A. Perkembangan Teknologi

  • Perlu menyediakan "technical support" yang lebih besar dan lebih cekap.
  • Koleksi digital  yang lebih besar.
  • Perhubungan melalui eletronik akan lebih banyak.
  • Persediaan infrastruktur yang lebih teguh dan kukuh.

B. Fungsi Perpustakaan

  • Fungsi perpustakaan berubah dengan penyediaan tempat mendapatkan maklumat melalui Internet dan penyediaan bahan digital akan lebih tinggi.
  • Kolobrasi dengan badan yang menyediakan maklumat akan lebih tinggi.
  • "Sharing knowledge" akan lebih kerap.
  • Mempunyai networking yang lebih kukuh dengan perpustakaan lain.

C. Peranan Pustakawan

  • Mempunyai "research librarian" yang berada diperingkat PHD.
  • Team building yang kuat bagi melaksanakan misi yang lebih "demand".
  • Staf sokongan yang lebih berpengetahuan serta berkemahiran tentang "content" perpustakaan.
  • Mempunyai kemahiran perhubungan cyber dengan pelanggan yang lebih mesra dan cepat.


Dulu mereka fikirkan untuk kita dan sekarang, masanya untuk melihat keputusan, hasil dari tindakan dan persediaan kita.

Friday, September 28, 2012

Persediaan SRR untuk universiti

Self Review Report Task Force Committee telah berkumpul di Hotel Seri Malaysia Kangar pada 27 & 28 September 2012.membincangkan keperluan dan semakan laporan yang perlu disediakan untuk MQA. Terdapat banyak item yang perlu disemak dan semuanya sangatlah penting untuk dibuat audit. Hasil yang baik memerlukan tindakan yang bersepadu dari semua jabatan. Semoga kita berjaya menyediakan apa yang diperlukan..

Wednesday, September 26, 2012

Majlis Makan Malam Penghargaan Interim MPP dan Penyerahan Watikah MPP Sesi 2012/2013

Selesai sahaja pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar minggu ini, calon yang berjaya terus melaksanakan tanggungjawab melantik pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa kecil MPP yang baru. Pada majlis malam ini diumumkan Pengerusi MPP UiTM Perlis yang baru iaitu saudara Azri Mat Saad. Kesempatan pada majlis tersebut pihak perpustakaan telah memaklumkan kepada MPP yang baru agar dapat memberi input dan  bekerjasama dengan pengurusan perpustakaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada semua pelajar. Perjumpaan dengan semua exco MPP yang baru akan dirancang bagi merealisasikan maksud ini.

Monday, September 24, 2012

Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal

Program (I-KIT) Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal. Modul 1 - Masakan Komersial anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perlis dengan kerjasama UiTM Perlis telah diadakan dari 24 hingga 30 Sept 2012 bertempat di bilik latihan UiTM Perlis dan juga di Kolej Komuniti apabila peserta mengadakan latihan amali. Seramai 30 ibu tunggal dipilih menyertai program ini. UiTM melihat kerjasama ini sesuatu usaha yang sihat dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan bercadang mengadakan MOU dengan mereka nanti. Nasihat terbaik dari Pengarah dan Rektor menyentuh hati peserta agar kuat dalam menghadapi dunia seorang ibu tunggal.

Sunday, September 23, 2012

Perjumpaan Pagi


Dahulu ... Masa sekolah, semua murid akan berkumpul di perhimpunan pagi.  Ada ucapan dari guru besar dan guru disiplin. Banyak maklumat yang disampaikan kepada kita pada pagi tersebut. Ingat lagikan, guru pesan suruh bayar yuran sekolah, pesan supaya tidak duduk dalam kelas pada waktu rehat dan macam-macam lagi. Kadang-kadang cikgu maklumkan tentang kejayaan sekolah, dan bila ada pasukan bola atau sesiapa yang menang acara sukan mereka akan dipanggil menerima pingat di atas pentas. Masa itu semua orang rasa gembira dan kita boleh lihat senyuman semua guru-guru. Tetapi yang paling teruk bila ada yang kena rotan atas pentas kerana pelbagai kesalahan.  Tiada senyuman, semuanya kecut. Walau bagaimanapun ada juga kawan-kawan yang kena rotan itu sekarang  sudah menjadi kontraktor besar, tentu banyak yang sekolah mengajar mereka dan kita juga. Lepas  habis perhimpunan Pengawas Sekolah membuat pemeriksaan pakaian, lencana dan kasut.  Kalau tidak pakai lengkap kena pula tahanan dalam kelas, orang balik awal kita kena belajar sendiri tambahan satu masa lagi. Begitulah cara guru nak disiplinkan kita. Putaran hidup kita begitu cepat berlalu dan cerita tentang himpunan pagi kekal sampai sekarang.

Kini,... lupakan cerita sekolah. Itu mukhadimah sahaja. Cerita sebenarnya ialah tentang perjumpaan pagi apabila saya sudah berkerja. Ada unit yang menjalankan perjumpaan setiap pagi sebelum memulakan kerja. Ada yang memulakan kerja dengan berdoa dahulu. Ada yang memulakan waktu bekerja dengan mendengar lagu korporat jabatan. Ada juga yang memperdengarkan lagu Negaraku. Pengalaman berada di bawah pelbagai ketua jabatan membolehkan kita mengalami pelbagai kaedah yang baik dalam memulakan tugas di waktu pagi.

Sekarang bila  diberi tanggungjawab mengurus sepenuhnya, amalan perjumpaan pagi kembali diperkenalkan kepada staf. Kaedahnya mudah sahaja, ianya diadakan pada setiap pagi Isnin dan kadang-kadang hari lain cuma bilangannya hanya sekali seminggu. Masa yang diambil sekitar 25 ke 30 minit. Selalunya akan bermula seawal pagi selepas staf sampai ke pejabat. Perjumpaan pagi dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab. Memberi nasihat kepada staf tentang tanggungjawab kita kepada Maha Pencipta. Ianya ringkas tetapi padat. Kemudian ketua akan menyampaikan apa-apa makluman jabatan dan juga tentang apa yang akan berlaku di dalam kampus sepanjang minggu. Begitu juga perkara-perkara penting yang perlu disampaikan kepada staf hasil dari mesyuarat pengurusan tertinggi. Selain itu, ketua-ketua unit juga diminta memaklumkan apa-apa perkara yang semua staf perlu tahu.

Perjumpaan pagi suatu kaedah penyampaian maklumat secara ringkas. Kalau adapun soal jawab ianya sedikit dan selesai dengan cepat. Bila ada isu yang besar yang diketengahkan oleh staf dalam perjumpaan pagi ianya akan dibawa kepada mesyuarat yang sebenarnya.  Perjumpaan pagi diakhiri dengan doa dan bersalaman antara staf.

Kebaikan disebalik perjumpaan pagi secara tidak sedar adalah:
  1. Ketua boleh mengetahui staf yang hadir dan tidak hadir,
  2. Perkara yang berlaku dan akan berlaku dapat diketahui dengan cepat,  
  3. Tindakan segera dapat dibuat dari maklumat yang diterima,  
  4. Semua staf menerima maklumat yang sama dan mengambil tindakan yang diminta, 
  5. Meningkat keyakinan staf untuk bercakap dikhalayak ramai dengan meminta mereka menyedia dan memberi maklumat kepada semua staf. 
  6. Staf pentadbiran dapat menyampaikan perkeliling jabatan untuk peringatan semua staf, 
  7. Semuanya diselesaikan dalam 30 minit sahaja. Cepat dan ringkas. 
  8. Kita memulakan tugas dengan mengingati Pencipta Kita dan mengakhirinya dengan memohon pertolongan dariNya.
Akhir sekali, jika tidak ada apa-apa yang kita hendak sampaikan, teruskan perjumpaan pagi kerana mungkin orang lain ada isu yang hendak diketengahkan.


Thursday, September 20, 2012

Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar

Kampus UiTM Perlis pada 20 September 2012  sibuk dengan Pilihanraya Pelajar. Staf perpustakaan turut terlibat dalam mengurus dan mengendalikan pilihanraya kali ini. Universiti mendidik pelajar kita  memahami erti demokrasi melalui peti undi. Masa ini mereka menjadi pemimpin dan berbakti kepada warga kampus. Kita berharap semoga mereka juga akan menjadi pemimpin masa depan yang memberi kebahagian kepada rakyat Malaysia nanti.



Wednesday, September 19, 2012

Hari Raya Bersama Keluarga Perpustakaan


Hari Raya Aidilfitri 2012 peringkat perpustakaan diadakan pada 6 September 2012. Bertemakan Hari Raya bersama Keluarga Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, sambutan ini diadakan pada sebelah malam. Jemputan yang hadir termasuk Rektor bersama keluarga serta Timbalan Rektor. Pengerusi Sambutan Hari Raya kali ini adalah Encik Shamshudin Ismail Pembantu Perpustakaan Tertinggi dan ianya dibantu oleh semua staf. Berkonsepkan beraya bersama keluarga perpustakaan, majlis kali ini melihatkan penglibatan ahli keluarga staf dan dengan secara tidak langsung telah dapat menjalinkan hubungan silaturahim sesama keluarga perpustakaan. Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan selain ucapan hari raya oleh semua staf dan wakil keluarga. Majlis diselang seli dengan nyanyian lagu raya oleh staf serta anak-anak staf, permainan dan juga cabutan nombor bertuah. Anak-anak staf turut menerima duit raya dari Rektor dan juga Ketua Perpustakaan. Majlis diakhiri dengan bergambar beramai-ramai bersama Rektor.

Duit Raya untuk anak-anak...






Makan ...makan... makan

  

  

 

 Memperkenalkan ahli keluarga...


  

  



Collages ....

Ucapan DJ Aziz ...dan ..dan pembantu 


 Emmmp teruskan makan  ...sambil dengar ucapan ...
 


 Nyanyi sikit.. dan kita bagi hadiah untuk yang menang...dan bertuah


 Sebelum pulang  kita bergambar dulu... dan InsyaAllah kita jumpa lagi tahun depan.

Foto oleh Farady Omar dan ARA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Nuffnang Ads