Wednesday, May 14, 2008

Individu, Kepimpinan dan Budaya: Tiga faktor yang menjejaskan perlaksanaan Integriti.

I. Pengenalan

Integriti adalah suatu perkataan yang asing bagi sesetengah orang. Jika orang tidak faham maknanya maka sudah tentulah penghayatannya juga tidak akan jelas. Integriti menurut Wikipedia (2007) adalah berasal dari bahasa Latin iaitu ‘integritas’ dan ‘integra’ yang bermaksud keseluruhan, lengkap atau satu. Integriti adalah keseimbangan perhubungan antara apa yang seseorang itu fikirkan atau percaya dan ianya mempunyai nilai yang baik dengan apa yang ia cakapkan kepada orang lain dan juga apa yang ia lakukan. Ia bermakna integriti wujud apabila Apa yang Difikirkan = Apa yang dicakapkan = Apa yang dilakukan. Kita boleh menganggapkan sebagai Fikir, Cakap, Buat sebagai suatu bulatan yang bertindihan. Jika salah satu daripadanya tidak bertindih maka seseorang itu tidak berintegriti.

Integriti dari kefahaman kita di Malaysia bermaksud suatu kualiti dan ciri positif yang wujud secara keseluruhan pada individu dan organisasi. Ianya berkait rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik. Kamus Dewan menyatakan sebagai kejujuran, kesempurnaan dan utuh. Ianya bermaksud peribadi yang utuh, suci, unggul tidak terjejas oleh sebarang kecacatan pada bila-bila masa, tempat atau keadaan (Zahrah, 2007).

Perkara-perkara baik dalam masyarakat lebih mudah untuk difahami bila memperkenalkan tentang integriti. Begitu juga jika kita katakan tentang rasuah dan tindakan memberi dan menerima rasuah sebagai tidak berintegriti akan lebih mudah orang memahaminya. Penggunaan perkataan integriti yang jarang dihebahkan dalam media masa akan menyebabkan orang ramai susah untuk memahaminya. Lagipun perkataan integriti berciri besar. Luas skopnya meliputi individu hingga ke masyarakat, organisasi dan negara.
Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2004 merupakan suatu langkah yang baik dan perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Taklimat dan kursus yang diberi sedikit sebanyak dapat membantu kita sebagai kakitangan awam terutamanya, memahami dan menghayati hasrat tersebut.

Kenapa kerajaan menitik beratkan tentang integriti? Setelah era kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir digantikan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kita dapati Pak Lah ingin meneruskan dengan melindungi usaha Dr Mahathir dengan pengurusan yang berakauntabiliti. Ianya dikemaskan dengan modal insan yang berintegriti.


II. SKOP PERBINCANGAN

Skop perbincangan dalam penulisan ini adalah meliputi tiga faktor yang menjejaskan perlaksanaan integriti iaitu Individu, Pemimpin dan Budaya. Ianya banyak berkisar kepada kesannya kepada alam pekerjaan.

III.INDIVIDU

Salah satu sebab mengapa pelaksanaan integriti akan terjejas adalah disebabkan oleh faktor individu itu sendiri. Antara faktor-faktor pada individu tersebut adalah seperti:

A.Kelemahan Individu.

Kelemahan individu ini jika kita sabitkan seorang sebagai beragama Islam adalah merujuk kepada imannya yang lemah. Kelemahan ini menyebabkan seseorang itu mudah menurut nafsunya. Orang yang mudah menurut nafsu semangnya mudah juga terpengaruh dengan orang lain untuk mendapat sesuatu yang tak mampu olehnya. Maka ia sanggup untuk menipu dan mencuri. Kelemahan iman dan menurut nafsu menyebabkan mereka cepat marah dan tidak sabar. Sebab itu keinginan melampau atau bernafsu jahat ini menyebabkan mereka sanggup menjadi pengikut yang setia atau pak turut untuk mendapatkan habuan dari kesetiaan mereka ini. Ini menjadikan mereka mudah mencontohi perbuatan orang secara membuta tuli tanpa usul periksa akan kesan ke atas perbuatan mereka.

Kelemahan individu juga menyebabkan mereka ini selalunya tidak suka mendengar apabila kawan-kawan dipuji atas kejayaan yang dibuat. Mereka ini akan rasa cepat cemburu, dengki dan mudah menabur fitnah. Kesan kepada pekerjaan amat buruk dimana akan menyebabkan suasana tepat kerja tidak mesra dan juga kebolehpercayaan sangat rendah.

B. Kurang pendidikan dan penghayatan nilai-nilai murni.

Kurang pendidikan merupakan suatu faktor yang boleh menyebabkan terjejasnya integriti. Mereka yang kurang pendidikan ini akan melakukan sesuatu perkara mengikut rasa hati sahaja. Mereka ini sudah tentu tidak terdedah dengan suatu kaedah formal untuk memahami tentang integriti.

Pendidikan sebenarnya bukan sahaja tentang akademik tetapi memahami bagaimana untuk hidup dalam masyarakat berbilang kaum juga perlu. Tambahan pula kita di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama sudah tentu memerlukan sedikit sebanyak pengetahuan tentang kaum-kaum ini dan agama-agama yang diamalkan bagi memastikan keharmonian kaum ini dapat dikekalkan sepanjang masa.
Tidak adanya penghayatan nilai-nilai murni memanglah akan menyebabkan individu tersebut tidak berintegriti. Salah satu nilai murni adalah sifat kesopanan. Tidak ada sifat kesopanan ini boleh menyebabkan seseorang itu tidak ada rasa untuk mengenang jasa ibubapanya. Maka tiadalah doa dari anak-anak yang soleh untuk kedua ibu bapa mereka. Tidak bersopan tentulah tidak berbudi bahasa, tidak adalah senyuman dan perkataan terima kasih keluar dari mulut mereka. Janganlah diharapkan pada mereka ini untuk menyintai alam flora dan fauna malah merosakkannya adalah mungkin.

Di sekolah-sekolah di Malaysia nilai murni memang diajar melalui mata pendidikan moral atau agama Islam. Ini bermakna jika pendidikan ini tidak diperolehi oleh rakyat Malaysia maka sudah tentu integriti yang diharapkan akan terjejas. Antara 16 nilai-nilai murni yang telah dan sedang diajar adalah seperti baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan dalam perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah, kebebasan yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditentukan agama, masyarakat dan negara, keberanian untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat.

C. Etika kerja lemah.

Salah satu faktor individu yang menjejaskan integriti adalah dari segi etika kerja yang lemah. Etika kerja dibuat agar individu mengikut peraturan tidak melanggarnya dan ia adalah perlu bagi menunjukan nilai sesuatu profesion. Seseorang yang beretika kerja yang lemah akan menyalahguna kuasanya untuk kepentingan peribadi dan juga sanggup mengamalkan rasuah. Selalunya mereka ini akan menggunakan budibicara tanpa kawalan dan penyeliaan. Ini menyebabkan staf menggunakan kesempatan atas kelemahan ini. Staf akan mudah datang lambat atau ponteng kerja kerana tidak ada tindakan akan dibuat. Etika kerja lemah juga menyebabkan staf tidak mematuhi peraturan jabatan. Kalau tahupun mereka mungkin tidak akan menghiraukannya.

Mereka ini dengan mudah akan mengambil kesempatan untuk berurusan dengan orang-orang yang terlibat atau yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu urusan demi kepentingan diri. Kalau kita lihat pada kawalan barangan pejabat, etika yang lemah membolehkan seseorang itu menerima pesanan kurang dari yang dipesan, menerima barang-barang yang bermutu rendah dan mungkin juga bila berlakunya kecurian kecil-kecilan atau barang hilang ianya tidak akan dilaporkan.

D. Tamak.

Tamak adalah sikap cemburu akan sesuatu yang ada pada orang lain dan mereka ini sangat suka kepada keselesaan. Tindakan mereka ini sudah tentu tanpa memikirkan tentang orang lain dalam mendapatkan apa yang dihajati. Sifat ini menyebabkan orang memandang hina dan buruk kepada pelakunya. Contohnya sewaktu makan tengahari semasa staf berkursus, mereka yang tamak ini kadang-kadang kita dapati akan mengambil makanan berlebih-lebihan tanpa memikirkan orang dibelakang dan dari satu segi pula kadang-kadang ianya nampak seperti membazir bila makanan tadi tidak dapat dihabiskan. Sifat ini dapat dihindar dengan membuat sesuatu secara sederhana sahaja.

E. Tidak nampak kelemahan diri sendiri.

Faktor individu berikutnya yang menjejaskan integriti adalah faktor ’tidak nampak kelemahan diri sendiri’. Apabila rasa ego meninggi maka seseorang itu akan memiliki sifat ini. Selalunya mereka yang begini suka meletakkan kesalahan pada orang lain. Ini akan menyebabkan suasana kelompok tidak harmoni dan tidak kuat ikatan sesama ahli dalam kumpulan. Seseorang yang bersifat begini sebenarnya susah untuk berubah. Ianya mungkin dapat berubah apabila orang yang dihormati olehnya membuat teguran.

F. Tekanan hidup.

Kehidupan pada masa ini serba mencabar dari segenap segi. Manusia perlu menghadapi semua tekanan dari pelbagai sudut. Tekanan ini memungkinkan sesiapa saja melakukan sesuatu diluar sifat mulia insan. Tekanan hidup ini jika tidak pandai dihadapi akan boleh menjejaskan integriti seseorang. Tekanan hidup berupaya menyebabkan seseorang itu dengan sengaja melambatkan kerja untuk membolehkannya membuat kerja lebih masa bagi mendapatkan duit tambahan di hujung bulan. Ada juga yang sengaja memalsukan kerja lebih masa atau sengaja dibuat-buat pada borang tuntutan kerja lebih masa. Jika seseorang itu terlibat dengan kontrak atau tender pula beliau mungkin mempunyai percanggahan kepentingan dalam kontrak yang ditawarkan. Beliau mungkin dengan sengaja tidak melaporkan apa-apa kecacatan dan kekurangan tentang barang atau perkhidmatan yang dibuat kerana telah ada habuan untuk beliau dari pembekal jika menerima sahaja barang-barang tersebut. Sebab itu kesederhanaan adalah jalan keluar yang baik dalam menghadapi tekanan hidup ini.


IV. KEPIMPINAN

Kepimpinan yang tidak baik dan berkesan juga boleh menjadi faktor kenapa integriti terjejas. Antara faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut:

A. Kepimpinan kurang berteladan.

Kepimpinan kurang berteladan akan menyusahkan pengikut untuk bekerja dalam sesuatu organisasi. Apa yang dirancang susah untuk dicapai dan staf akan membuat hal masing-masing. Akan berlaku salah menyalah antara staf dan ini memang akan menyebabkan organisasi pincang. Pemimpin begini senang untuk mempunyai percanggahan kepentingan dan boleh salahguna kuasa untuk kepentingan sendiri ataupun keluarga. Mereka mungkin memutarbelitkan fakta tentang spesifikasi kerja, barang atau perkhidmatan. Membuat pesanan barang tanpa kawalan dan juga membuat penipuan dalam pembayaran. Untungnya mereka akan menerima komisyen atau habuan dari kontraktor atau pembekal barang atau perkhidmatan. Pemimpin yang begini memang tidak layak dan perlu digantikan sahaja dengan mereka yang berkelayakan dan berintegriti.

B. Lemah iltizam.

Meraka yang lemah iltizam ini tiada kesungguhan dalam menjalankan tugas. Sudah tentu ia akan menjejaskan integriti. Tidak berkeyakinan akan kemampuan diri dan staf bawahan. Ini mungkin disebabkan mereka ini kurang ilmu pengurusan dan juga menggunakan banyak maklumat negatif. Kelemahan mereka ini boleh menyebabkan tidak ada tindakan untuk melaporkan apa-apa kecacatan dan kekurangan di jabatan. Selalunya pemimpin begini kurang mengadakan penyeliaan atau pengawasan ketika pegawai bawahan bertugas. Jika membeli barangan pula ianya dibuat secara tergesa-gesa tanpa perancangan. Ada juga sesetengah mereka ini membuat pembayaran dahulu tetapi barang belum dibekalkan. Apa yang dapat diperkatakan adalah kemungkinan besar mereka ini menjadi ketua tanpa persediaan sebagai pengurus ataupun pemimpin. Mereka sepatutnya perlu diberi latihan yang cukup terlebih dahulu sebelum menjadi ketua.

C. Arahan pemimpin yang melanggar prosedur dan peraturan.

Jika ada pemimpin yang begini memanglah organisasi yang dipimpinnya akan berada pada tahap yang berbahaya. Pemimpin begini boleh menyebabkan kebocoran maklumat jabatan dan mungkin juga membuat pilih kasih terhadap kontrak dan berpakat dengan kontaktor dalam mendapatkan tender. Bila berkesempatan mereka akan menggunakan kuasa untuk mengugut orang-orang yang mempunyai kepentingan agar membuat sesuatu yang tindakan yang menguntungkan mereka walaupun tanpa mengikut prosedur jabatan. Tidak mengejutkan bagi pemimpin begini akan menggunakan kemudahan harta atau peralatan pejabat untuk diri sendiri.

D. ’Cakap tidak serupa bikin’.

Ada pemimpin yang hanya pandai bercakap sahaja tentang integriti tetapi perbuatan mereka tidak pula mengambarkan mereka itu pengamal integriti. Inilah yang dikatakan ’cakap tidak serupa bikin’. Ada pemimpin yang bercakap tentang amalan 5S, tetapi di bilik pejabat sendiri barang-barang berselerak tidak terurus. Untuk mencari fail pun mengambil masa yang lama. Menjadi ketua yang begini akan menyebabkan staf bawahan memandang rendah kepada ketua sendiri. Bila ini berlaku ia akan melemahkan organisasi tersebut kerana staf hilang kepercayaan terhadap ketua. Oleh yang demikian ketua perlu memuhasabah diri dalam tindak tanduknya.


V. BUDAYA

Budaya yang tidak baik juga merupakan salah satu sebab mengapa ia boleh menjejaskan integriti. Beberapa perkara yang dapat dikaitkan adalah seperti:

A. Budaya masyarakat yang tidak menitik beratkan integriti.

Kadang-kadang sudah menjadi suatu budaya apabila dikaitkan orang Melayu dengan perkataan malas. Mungkin kehidupan masa duhulu yang sederhana atau sekadar cukup makan menyebabkan keadaan begitu. Walau bagaimanpun ungkapan menjadi sinonim apabila di sebut ’Melayu malas’ hingga ke zaman ini kerana tindak tanduk orang Melayu sendiri. Akhir-akhir ini disebut pula ’Melayu cepat lupa’.

Masyarakat bandar pula pada masa ini lebih kepada individualistik. Tidak ambil peduli tentang jiran tetangga. Nilai budaya masyarakat bandar akhirnya akan terus merosot jika tidak diperbetulkan dengan segera. Sebab itu perlu ada kerja gotong royong, rukun tetangga dan lain-lain aktiviti sosial dalam kawasan perumahan di bandar agar nilai murni dapat dihidupkan dengan subur.

B. Takut membuat laporan kerana bimbang tindakan balas.

Selalunya apabila berlakunya tuduhan kepada seseorang maka akan berlakulah tindak balas dari pihak yang dituduh. Kalau ditegur untuk kebaikan pun sanggup dibalas dengan maki hamun apatah lagi kalau mengetahui laporan yang dibuat kepada ketua menyebabkan seseorang itu boleh diambil tindakan disiplin. Bila orang tidak berani melaporkan kesalahan maka akan ada staf bila membuat kerja lebih masa tidak akan membuatnya bersungguh-sungguh tetapi sebaliknya asyik berbual di telefon. Maka rugilah duit jabatan kerana membayar kepada orang yang begini.

C. Sikap tidak ambil peduli.

Sikap tidak ambil peduli ini menyebabkan segala yang tidak baik yang berlaku disekeliling menjadi perkara biasa dalam organisasi tersebut. Ini sangat merbahaya kerana sikap ini boleh menyebabkan maklumat atau rahsia jabatan boleh terjual. Sikap ini juga mengundang kepada penyalahgunaan peruntukan yang disediakan. Maka berlakulah juga pembelian barang secara berlebihan. Barang-barang yang diterima bermutu rendah dan tidak mengikut spesifikasi atau mengikut perjanjian kontrak kerana semua orang tidak mengambil peduli apa yang berlaku disekeliling mereka.

D. Enggan melaporkan kesalahan yang dilakukan.

Keenganan melaporkan kesalahan yang dilakukan akan menyebabkan banyak penyelewengan dan rasuah dalam jabatan. Samada disebabkan oleh takut kepada tindak balas atau sikap tidak ambil peduli maka semua ini memudahkan lagi penyelewengan berlaku. Penyelewengan seperti pembelian dibuat dengan harga dinaikan untuk kepentingan diri. Pembayaran pula mengikut keselesaan dan berlarutan lamanya sehingga menyusahkan pembekal. Kadang-kadang berlaku bayaran bertindih ke atas barangan yang sama. Sesetengahnya bahan tetap diterima walaupun tidak mengikut spesifikasi kontrak kerana mereka mempunyai kepentingan dengan pembekal. Mereka ini akan menyebelahi atau mengikut kehendak pembekal dalam membuat keputusan pembelian.


VI. KESIMPULAN

Kesimpulannya, kita mendapati integriti sangat penting dan ianya adalah sesuatu yang dikehendaki oleh agama Islam. Integriti itu mengambarkan akhlak yang mulia dan itulah juga yang akan dikira bila manusia menemui tuhannya nanti. Integriti penting kerana dengannya dapat mengelakkan penyelewengan dalam urusan dengan pelanggan, mengelakkan salah guna kuasa, mengelakkan berlakunya rasuah, dapat mempertahankan keutuhan pengurusan, menjamin kualiti perkhidmatan yang tinggi dan sudah tentu meyakin dan memberikan kepuasan kepada pelanggan.

Semua kemerosotan integriti boleh diperbaiki dengan mengambil kira faktor-faktor kejayaannya iaitu melalui kepimpinan berteladan, kesediaan individu untuk berubah, dasar yang utuh dan matlamat yang jelas, pendidikan berterusan dan berulang, komunikasi berkesan, persekitaran budaya yang kondusif, kerjasama politik dan jentera pentadbiran, kerangka perundangan berkesan dan kehakiman bebas serta kecukupan dan kecekapan sumber.


VIII. RUJUKAN

Institut Integriti Malaysia (2006). Pelan Integriti Nasional: edisi ringkas. Kuala Lumpur.

Kamus Dewan : edisi ke tiga (2007). Kuala Lumpur. Diperolehi pad 4 September 2007 di alamat http://sbmb.dbp.gov.my/kamus/perkamusan/dbp_ka_rujukan_kamusdbp.aspx

Kertas Kerja Kajian Sistem Pendidikan Kebangsaan diperolehi pada 4 September 2007 di alamat http://embers.tripod.com/~sarjana/nilai3.html

Wikipedia: the free encylopedia diperolehi pada 4 September di alamat http://en.wikipedia.org/wiki/main_page

Zahrah Mokhtar, Dr Hjh. (2007). Pelan Integriti Nasional. UiTM:Shah Alam di perolehi pada 20 September 2007 di alamat http://ww.hep.uitm.edu.my/images/stories/pdf/pin.pdf

Pengguna Perpustakaan - Dua

Meningkatkan kehadiran Pengguna ke Perpustakaan.

Perkara-perkara yang boleh membantu tujuan di atas adalah:

20. Mengujudkan capaian melalui Wifi
21. Membenarkan penggunaan laptop dalam perpustakaan
22. Menyediakan plug untuk laptop atau untuk charge bateri
23. Menyediakan kelas komputer seperti cara menggunakan software microsoft office
24. Menyediakan kelas SPSS
25. Penulisan Kertas Kerja, Kertas Penyelidikan atau Penulisan untuk membuat buku.


Semua ini sebaiknya dipecahkan mengikut kumpulan iaitu:

1. Staf
2. Teknologi
3. Prosedur
4. Aktiviti Perkhidmatan Maklumat


Kesimpulan.

Pastinya perancangan setahun perlu disediakan agar ia dapat membantu kepada pencapaian ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Nuffnang Ads