Wednesday, October 30, 2013

Nikmatnya bila sihat!

“Saya bagi awak Dua hari Cuti Sakit” kata doktor. Terpaksa menerima hakikat tersebut setelah 4 tahun tidak ambil MC waktu bertugas. Mulanya sakit tekak, kemudiannya selsema dan seterusnya batuk. Memang ingat boleh pergi kerja tetapi lelehan air hidung yang tidak dapat dikawal macam paip bocor terpaksa menerima hakikat bahawa badan perlu rehat. Sakit disebabkan "Viral" kata doktor maka tak perlu antibiotik.

Di rumah tengok buku yang Ustaz Daud bagi pinjam semalam. Buku bertajuk “Rasulullah is my doctor” penulisnya Jerry D. Gray seorang muslim. Macam tahu saja ustaz ini yang saya akan sakit, siap pinjamkan buku lagi tu. Banyak info tentang rempah ratus yang kita biasa ada di dapur dan juga sayur-sayur yang boleh menjadi ubat bila sakit. Bila belek-belek baru saya tahu jintan hitam yang dijual dikedai rupanya nama untuk habbatus sauda. Dalam buku Gray menggunakan nama Jintan Hitam dan bila Google rupanya ianya habbatus sauda. Banyak manfaat bila ambil jintan hitam ini. Bila baca lagi terjumpa pula yang daun buluhpun boleh jadi ubat. Daunnya boleh dibuat ganti teh. Kena baca ni baru tahu kelebihan mereka. 

Guru tuition anak  Mr Chua ternampak saya di depan rumah dan bertanya kenapa saya tidak pergi kerja. Bila saya terangkan tentang selsema, dia beritahu keluarganya di sini dan juga di Singapura hanya guna ubat dari homeopathy. Dia beritahu di mana klinik homeopathy yang paling dekat dan bagaimana membancuh ramuan yang selalu beliau gunakan. Bila malam anak pula telefon bagi tahu suruh bancuh madu dengan perahan lemon sepertimana saya selalu ingatkannya bila beliau selsema. Baiknya orang disekeliling saya memberi nasihat bila saya tidak sihat.

Saya berusaha dan harapan saya hanya pada Allah untuk menyembuhkan saya. Maka nikmat sihat itu sangat besarnya bila saya sakit. Terima kasih Allah kerana memberi peringatan ini.

Friday, October 18, 2013

Program Korban UiTM Perlis 2013



Program Korban UiTM Perlis 2013 menyaksikan sebanyak 17 ekor lembu telah ditumbangkan bagi memenuhi hajat para muslimin dan muslimat yang menjalankan ibadah korban dan juga akikah. Seekor darinya adalah sumbangan dari kerajaan negeri untuk dibuat kenduri.

Program kali ini lebih menarik kerana penyertaan dari pihak alumni UiTM Perlis sendiri. Mereka kini sudah berjawatan besar tetapi sanggup turun ke Arau menyertai warga UiTM Perlis dan sama-sama bergotong royong memotong daging untuk dimasak dan juga untuk diagihkan kepada warga UiTM dan penduduk sekeliling. Wakil-wakil dari Program masjid sahabat juga turut hadir memeriahkan program kali ini.

Ianya satu sejarah dalam Program Korban pada kali ini dimana pihak pembekal lembu sengaja membawa lebih seekor lembu. Semasa program berlangsung tawaran dibuat kepada mereka yang ada di situ untuk menyertai 7 tompok (bahagian) yang masih kosong. Harga satu tompok adalah RM450 sahaja. Alhamdulillah kesemua tompok habis dibeli oleh staf dan juga tetamu yang hadir dan menjadikan jumlah lembu yang dikorban dan diakikahkan menjadi 16 ekor.




Sambutan daripada staf dalam menyertai program ini sangat menggalakan kerana iklan dari awal lagi telah dikeluarkan oleh pihak Korporat UiTM Perlis dan juga pihak ACIS yang menjadi pengerak utama program ini.

Dalam pengagihan daging korban, Jawatankuasa Program memberi 3 pilihan kepada peserta atas bahagian daging korban:

1. Serah kesemuanya kepada Urusetia untuk agihan
2. Ambil bahagian (tompok) kesemuanya
3. Ambil 1/3 daripada bahagian (2/3 diserahkan kepada Urusetia untuk agihan)

Firman Allah (S.W.T) yang bermaksud " Sesungguhnya kami (Allah) telah memberi engkau (Muhammad) kebaikan yang banyak. Maka "sembahyanglah engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (korbanmu)". (Al-Kautsar:1-2)

Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…”
(Riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)



Terima kasih kepada semua staf yang bergotong royong menyempurnakan ibadah korban kali ini. Terima kasih kepada penderma-penderma untuk majlis kenduri. Anda semua membantu hajat kawan-kawan yang menyertai ibadah ini. Terima kasih banyak-banyak. Jumpa lagi pada tahun hadapan InsyaAllah dengan lebih ramai penyertaan.

Wednesday, October 09, 2013

Kenali dan Cintai Puisi: Mentera dan Talibun




Bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia Perlis satu Pameran Bulan Bahasa Kebangsaan dan  Program Kenali dan Cintai Puisi Mentera dan Talibun telah disampaikan oleh pakar dalam bidang tersebut Prof Madya Dr Harun Mat Piah.

Rasanya perkataan talibun tu pertama kali laa dengar, kalau taliban dah selalu dengar. Sebutan mentera pun ada pelbagai sebutan disebabkan perubahan huruf e dan e tanda. Kalau nak tahu  apa makna talibun dan mentera semak saja wikipedia.

Persembahan gesekan biola dari Awang Batil dengan lagu makan sireh memang mengasyikan. Awang Batil adalah antara tokoh penglipurlara dari Perlis. Sayang saya tidak rakam gesekan biolanya. Carilah dalam Youtube sudah banyak rakaman yang telah dimuat turun. Hari tu gesekan biolanya memang betul-betul membawa fikiran saya pergi mengimbau zaman dulu-dulu zaman cerita P Ramlee. Hebatnya mereka ini yang kita lihat biasa biasa sahaja tetapi isinya luar biasa.

Walaupun pameran Bulan Bahasa Kebangsaan ini nampak kecil tetapi mengumpul hasil karya penulis-penulis Perlis adalah suatu usaha PNM Perlis yang sudah tentu sukar. Pelbagai karya yang mereka tulis dipamerkan dan penulisan mereka membawa kita ke zaman yang kita telah dan belum lalui pada masa itu. Saya ada bertanya seorang penulis yang turut sama dijemput, berapa banyak buku yang telah beliau tulis? Beliau menjawab dah beratus! tidak termasuk penulisan dalam surat khabar dan majalah, wow saya satu buku pun belum! nasib baik ada blog! para pembaca bagaimana? ada ka?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Nuffnang Ads