Nikmatnya bila sihat!

“Saya bagi awak Dua hari Cuti Sakit” kata doktor. Terpaksa menerima hakikat tersebut setelah 4 tahun tidak ambil MC waktu bertugas. Mulanya sakit tekak, kemudiannya selsema dan seterusnya batuk. Memang ingat boleh pergi kerja tetapi lelehan air hidung yang tidak dapat dikawal macam paip bocor terpaksa menerima hakikat bahawa badan perlu rehat. Sakit disebabkan "Viral" kata doktor maka tak perlu antibiotik.

Di rumah tengok buku yang Ustaz Daud bagi pinjam semalam. Buku bertajuk “Rasulullah is my doctor” penulisnya Jerry D. Gray seorang muslim. Macam tahu saja ustaz ini yang saya akan sakit, siap pinjamkan buku lagi tu. Banyak info tentang rempah ratus yang kita biasa ada di dapur dan juga sayur-sayur yang boleh menjadi ubat bila sakit. Bila belek-belek baru saya tahu jintan hitam yang dijual dikedai rupanya nama untuk habbatus sauda. Dalam buku Gray menggunakan nama Jintan Hitam dan bila Google rupanya ianya habbatus sauda. Banyak manfaat bila ambil jintan hitam ini. Bila baca lagi terjumpa pula yang daun buluhpun boleh jadi ubat. Daunnya boleh dibuat ganti teh. Kena baca ni baru tahu kelebihan mereka. 

Guru tuition anak  Mr Chua ternampak saya di depan rumah dan bertanya kenapa saya tidak pergi kerja. Bila saya terangkan tentang selsema, dia beritahu keluarganya di sini dan juga di Singapura hanya guna ubat dari homeopathy. Dia beritahu di mana klinik homeopathy yang paling dekat dan bagaimana membancuh ramuan yang selalu beliau gunakan. Bila malam anak pula telefon bagi tahu suruh bancuh madu dengan perahan lemon sepertimana saya selalu ingatkannya bila beliau selsema. Baiknya orang disekeliling saya memberi nasihat bila saya tidak sihat.

Saya berusaha dan harapan saya hanya pada Allah untuk menyembuhkan saya. Maka nikmat sihat itu sangat besarnya bila saya sakit. Terima kasih Allah kerana memberi peringatan ini.

Comments

Unknown said…
This comment has been removed by a blog administrator.

Popular Posts