Wednesday, July 16, 2014

Rumah Hembusan Kasih - Berkongsi Kesenangan Sesama Insan

Alhamdulillah, Rumah Hembusan Kasih menjadi yang penempatan anak-anak-anak yatim, fakir miskin dan anak-anak asnaf zakat dapat kami kunjungi sekali lagi pada petang ini bagi menyerahkan sedikit sumbangan yang dikumpul oleh staf perpustakaan. Penyerahan barang makanan ini disampaikan oleh En. Mohd Fadhli Samsudin (Pustakawan) mewakili Ketua Perpustakaan. Turut hadir dalam majlis ini adalah En. Rodi Daud Pengerusi Kelab Kebajikan Kakitangan Perpustakaan Dato Jaafar Hassan, UiTM Perlis.

  "Ramadhan mengajar kita erti kasih sayang sesama manusia, bersabar dalam merasai kepayahan dan kesusahan,  mengambil peduli  serta berkongsi kesenangan sesama insan"

Free Market 3 "Semua Orang Boleh Menderma"


 "Semua orang boleh menderma" 

Alhamdulillah pagi ini kami masih menerima pakaian untuk teruskan Free Market 3. Ramai kalangan staf dan juga pelajar turut sama menyumbang bagi program pagi ini. Tidak sangka pula ada pelajar yang akan turut serta sebagai penyumbang kepada program ini. Ini sesuatu yang baik. Turut menyumbang pakaian adalah dari pekerja-pekerja pencuci bangunan. Nampak gayanya dah boleh dibuat slogan "Semua Orang Boleh Menderma" bagi program baik ini. Tepat jam 10:00 pagi sudah ramai yang menunggu untuk memilih pakaian yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Saya sempat rakam sebahagian pakaian yang masih tinggal selepas program bermula pagi tadi. 


Minggu hadapan Free Market akan ditangguhkan dahulu dan kita akan sambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri. Semoga slogan program ini " Semua Orang Boleh Menderma" akan sampai kepada anda dengan hati terbuka untuk menjadi penderma yang mulia.

Kad Ucapan Pilihan













Kad ucapan "Selamat Hari Raya" yang dibuat secara kreatif menjadi pilihan untuk kami pamerkan dalam kategori Kad Ucapan Pilihan. Penyediaan ruang  ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar menyampaikan ucapan dam bentuk kad kepada kawan-kawan mereka. Hasilnya dalam seminggu sahaja sudah penuh satu papan kenyataan yang disediakan untuk tujuan ini.

Kami mengambil kesempatan memilih kad yang terbaik untuk tontonan umum.

"Selamat Hari Raya AidilFitri"


Monday, July 14, 2014

Kurma oh Kurma

Pagi ini kami memulakan misi menghantar kurma, AlQuran dan lain-lain sumbangan kepada Masjid Angkat Nurul Husna Kampung Wang Kelian, Perlis. Masjid ini merupakan masjid angkat bagi perpustakaan dalam program UiTM Perlis iaitu 1Fakulti 1Masjid Sahabat 1Sekolah Angkat.
"Biarpun sedikit sumbang ini tetapi ianya mengikat silaturrahim antara kita"


Kami turut menyumbang buah kurma untuk pekerja yang menjalankan tugas mencuci bangunan di perpustakaan dan juga di bangunan lain di UiTM Perlis ini. Semoga usaha kami menjadi ibadah disisi Allah hendaknya.

62 Buah Gerai di Pasar Ramadhan UiTM Perlis


Sebanyak 62 buah gerai beroperasi sepanjang bulan Ramadhan ini di kampus UiTM Perlis pada tahun ini.  Semua gerai-gerai ini di tempatkan dalam kawasan "mushroom" yang menjadi tumpuan pelajar membeli barangan keperluan harian mereka. Pelbagai jenis makanan seperti nasi dan lauk pauk dan juga kueh mueh serta minuman dijual di sini. Bilangan pelajar yang tinggal di dalam kampus adalah hampir 6,000 orang dan bayangkan bila semuanya bertumpu di kawasan ini. Harga makanan adalah berpatutan dan pengawalan kebersihan adalah sangat baik. Masih ada kueh yang dijual 4 ketul/biji seringgit tetapi mungkin sedikit kecil. Daging dipotong kecil tetapi dapat dijual dengan harga seketul seringgit sesuai dengan bajet pelajar.

Selamat berpuasa dan membeli sekadar yang perlu, kawal nafsu, elak membazir


Friday, July 11, 2014

Nira terbaik dari Kipli Ladang Nipah

Kalau anda ke Perlis jangan lupa untuk singgah di Kuala Sanglang. Ia mempunyai suatu tempat makan yang unik. Kipli Ladang Nipah menyediakan suatu suasana ladang nipah yang lain dari yang lain dan pasti anda akan membawa balik pengalaman yang unik ini. Pengalaman makan laksa, bihun sup, cendol ataupun nira nipah yang segar dari ladang ini. Nira segar ini boleh dibungkus untuk dibawa balik. Sesiapa yang belum pernah minum nira, sila ke sini, manisnya asli ...emmp sedapnya tidak terkata. Makanan lain turut ada tetapi yang uniknya anda menikmati kesedapan makanan di dalam rimbunan pohon-pohon  dan berbumbungkan pelepah dan pucuk-pucuk nipah ...wow.







Dari Kipli Ladang Nipah anda boleh menyusuri jalan tepi pantai dengan pemandangan disepanjang perjalanan dengan sawah padinya disebelah kanan dan laut disebelah kiri anda. Perjalanan di tepi pantai ini boleh terus sehingga ke Kuala Perlis. Itulah Perlis, indahnya negeriku.



Thursday, July 10, 2014

3,900 Bungkus Bubur Lambuk UiTM Perlis untuk warga kampus


1,300 bungkus bubur lambuk telah dapat diedarkan pada Program Memasak Bubur Lambuk UiTM Perlis bersempena bulan Ramadan 1435H  pada 3 Julai 2014 yang lalu. Hari ini 1,300 bungkus lagi akan diedarkan. Program yang dijalankan sebanyak 3 kali ini akan dibantu keseluruhannya oleh staf UiTM Perlis dari pelbagai jabatan.

Program Memasak Bubur Lambuk UiTM Perlis diadakan pada ketetapan berikut:

           Tarikh                Kumpulan     Bahagian/Fakulti/ Jabatan/ Unit
3 Julai 2014 (Khamis)     1                     Hal Ehwal Akademik (termasuk semua fakulti), ACIS,
                                                               PALAPES & LADANG

10 Julai 2014 (Khamis)     2                   Pengurusan Fasiliti, PJIM&A, Perpustakaan,
                                                               Polis Bantuan, Unit Makmal Sains & USMB

17 Julai 2014 (Khamis)     3                   Hal Ehwal Pelajar, Pentadbiran, Kewangan &
                                                              Pejabat Rektor

Program di bawah seliaan Jawatankuasa Masjid An-Nur dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Perlis ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak. Warga kampus dari jabatan yang terlibat telah turun beramai-ramai, bersama-sama bergotong-royong menjayakan program ini. Mereka bersama-sama menyediakan bahan, memasak, membungkus dan mengagihkan lebih kurang 1,300 bekas bubur lambuk kepada kakitangan dan pelajar pada setiap kali program.

Alhamdulillah, sumbangan ikhlas dalam bentuk wang ringgit bagi membeli bahan-bahan memasak telah diterima dari staf dan juga orang ramai dalam menjayakan program ini. Tahniah serta setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas kerjasama serta sumbangan seluruh warga kampus dalam menjayakan program yang baik ini. Jumpa lagi di tahun hadapan. InsyaAllah.




 






 


Wednesday, July 09, 2014

Free Market 2



Sekali lagi Free Market 2 dapat dilaksanakan di Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, UiTM Perlis ini. beberapa orang staf dalam dan luar perpustakaan telah menyumbang barangan seperti kain, seluar, baju, selendang, blazer, bag serta seterika kepada program pagi ini. Kami berharap lebih ramai akan datang menyumbang pada program yang akan datang. Free Market 1 yang dilaksanakan sebelum ini turut mendapat galakan dari pelbagai jabatan di dalam kampus.  

  Jika anda mempunyai pakaian yang tidak diperlukan dan bertahun-tahun tersimpan di dalam almari anda lebih baik beri kepada oarang lain yang memerlukannya. Jika kita simpanpun ia akan menjadi buruk dan akhirnya menjadi kain buruk sahaja. Free Market adalah berkonsepkan DERMA. Semoga ianya menjadi saham akhirat anda nanti, InsyaAllah.

Sumber gambar: Masyina

Monday, July 07, 2014

Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis


Pagi ini saya berkesempatan menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Perhimpunan selalunya diadakan pada hari Isnin setiap awal bulan. Setiap kali perhimpunan akan ada jabatan kerajaan yang akan menjadi host untuk perhimpunan tersebut. Pada kali ini hostnya adalah UniMAP. Majlis akan bermula dengan kehadiran YAB Dato' Seri Menteri Besar. Selalunya ia bermula tepat jam 8:30 pagi. Beliau dan juga Exco kerajaan negeri, SUK Negeri, Penasihat Undang-Unadang serta Bendahari Negeri akan turut hadir dan akan berada di atas pentas. Lagu Negeri Perlis akan dimainkan dan disusuli dengan lagu Negaraku serta lagu Perkhidmatan Awam. Nyanyian pada pagi ini disampaikan oleh koir dari UniMAP. Apabila selesai, doa akan dibaca. Disusuli dengan ikrar Rukun Negara. Host perhimpunan akan memberi taklimat perkembangan jabatan mereka dan diakhiri dengan ucapan dari YAB Dato' Seri Menteri besar.


Intisari perhimpunan kali ini:

1)  Memberi peringatan kepada penjawat awam berhubung dengan maklumat berperingkat kerajaan agar berhati-hati dalam menyebarkannya melalui media sosial. Ada maklumat yang rahsia. Jadi jangan terperangkap dengan peraturan kerajaan. Maknanya tindakan boleh diambil apabila rahsia didedah dan peraturan pula ada untuk diguna pakai.

2)  Dalam mengupas hak kebebasan bersuara maka pendekatan berhemah dalam menyuarakan pandangan dalam media sosial hendaklah dibuat dengan berhati-hati. Elaklah dari menwujudkan keresahan dalam masyarakat dan juga perkara yang boleh membawa negara kekancah pergaduhan. Kebebasan itu sebenarnya masih dikawal oleh undang-undang yang sedia ada.

3)  Proses membuat keputusan dalam jabatan. Didapati masih ada jurang antara pembuat keputusan dengan proses pelaksanaan keputusan. Seringkali apabila melibatkan dasar ianya akan memberi kesan kepada rakyat negeri Perlis. Ada dua keadaan yang wujud. a) Keputusan lambat dilaksanakan. b) Keputusan langsung tidak dilaksanakan.  Semua ini akan memberi gambaran kepada prestasi kerajaan negeri.

4)  Kepentingan Perundingan dan Koordinasi. Kerjasama dalam perundingan dan semakan sesama jabatan adalah penting bagi mengatasi masalah atau dalam menjayakan sesuatu projek. Perlulah ada pihak yang bertanggujawab untuk pastikan sesuatu perkara itu tidak terlepas pandang. Perlulah semak adakah wujud pertindihan tugas atau kuasa.

5)  Budaya kerja saat akhir perlu dielakkan untuk negeri ini mencapai pelbagai hasrat. Kerja perlu dilakukan dengan cepat.

6)  Keputusan jabatan perlu selari dengan dasar kerajaan

7)  Tunai amanah dengan penuh tanggungjawab serta ikhlas. Semoga usaha kita diberkhati.

(Intisari perhimpunan yang diedit disediakan oleh En. Mohd Ismail Abdul Rahim)

Sunday, July 06, 2014

Tiada peluang untuk berpatah balik!

Tidak mungkin dapat berpatah balik! Suka, duka, sedih dan gembira yang telah berlalu akan tinggal dalam lipatan sejarah hidup kita. Hari ini hari lahir saya. Keluarga, adik beradik, jiran dan kawan-kawan semuanya mendoakan yang terbaik buat saya. Maka saya mendoakan kepada mereka dan juga pembaca blog saya ini
  " Semoga Allah kurniakan  kepada anda semua kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat". 


Jangan tertipu dengan usia Muda kerana syarat mati tidak harus Tua
Jangan terpedaya dengan tubuh yang Sihat kerana syarat mati tidak mestinya Sakit
Jangan terperdaya dengan harta kekayaan 
sebab sikayapun tidak pernah menyiapkan kain kafan buat dirinya meski cuma selembar 

Mari terus berbuat Baik, berniat untuk Baik
Berkata yang Baik-Baik, memberi nasihat yang Baik
Meskipun tidak ramai orang yang mengenalimu dan tidak suka dengan nasihatmu
cukuplah ALLAH yang mengenalimu daripada orang lain.

Jadilah bagai jantung yang tidak terlihat tetapi terus berdenyut setiap saat hingga kita terus dapat hidup, berkarya dan menebar manfaat bagi sekeliling kita sampai diberhentikan olehNYA

"Waktu yang kusesali adalah 
jika pagi hingga matahari terbenam
Amalku tidak bertambah sedikitpun
padahal aku tahu saat ini umurku berkurang"
(Ibnu Mas'ud r.a)

(kata-kata indah ini saya ambil dari WA. copy paste dengan izin)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Nuffnang Ads