Saturday, November 24, 2012

Buku naik buku turun


Pindah buku adalah perkara biasa dalam kehidupan harian Pembantu Perpustakaan. Kalau saya tanya sudah berapa kali buku-buku ini berubah, tidak terkira banyaknya jawab mereka. Maklumlah bangunan perpustakaan pun sudah banyak kali berubah. Dari bangunan papan ke bangunan batu. Dari Tingkat bawah naik ke atas. Dari atas turun ke bawah. Gambar di entry ini adalah perpindahan buku dari tingkat satu ke tingkat bawah. Mereka menggunakan beg untuk masukkan buku dan turun menggunakan tali yang dicakukkan kepada pemegang beg. Bila saya tulis entry ini kerja menurunkan buku sudah siap. Sekarang kerja memindahkan buku di bawah naik ke atas menggunakan kaedah yang sama. Kerja-kerja ini dibuat secara bergotong royong dan diselia oleh Pembantu Perpustakaan Tertinggi dan juga Pembantu Perpustakaan Kanan. Masing-masing pandai mengambil hati kawan-kawan dengan menyediakan minuman apabila terkena pada bahagian buku sendiri. Pandai-pandailah kita hidup bermasyarakat dalam perpustakaan. Berfikiran baik menghasilkan emosi yang baik dan kerja dilaksanakanpun akan jadi bertambah baik. Menariknya bila mereka menyusun buku, mereka sudah mengira perkembangan buku yang akan bertambah di atas rak, sudah boleh mengagak buku dari  subject mana akan berkembang dengan cepat. Fakulti mana yang kerap membeli buku, Pelajar dari fakulti mana yang kerap meminjam buku. Wah hebat mereka ini. Itulah pengalaman tidak boleh nak sama dengan sehelai sijil di dalam folder.

 

bangga dengan staf perpustakaan 

Friday, November 23, 2012

FIESTA Sempena Konvokesyen ke 77 UiTM (Perlis)

 
 


Bagaimanakah meningkatkan kepercayaan orang terhadap anda?

Bagaimanakah meningkatkan kreadibiliti atau bahasa mudah kepercayaan orang terhadap anda. Bunyi macam senang saja. Sebenarnya hasil dari artikel saya mengenai pemimpin tanpa pengikut sebelum ini, saya panjangkan sedikit supaya ceritanya tidak berhenti di situ sahaja. Pendek cerita begini sajalah, dalam organisasi kalau anda mahu meningkatkan kreadibiliti dari segi kepimpinan dan menampakan kepercayaan kepada ketua anda atau orang lain cuba fokus kepada beberapa perkara yang saya cadangkan ini.

1.       Mengurus emosi anda.
Dari bacaan saya, ada penulis yang mengatakan bahawa orang yang mempunyai masalah emosi mempunyai kebarangkalian 144 persen lebih banyak terlibat dengan kemalangan kenderaan dari mereka yang tidak bermasalah. Saya pun tak faham bagaimana mereka mengiranya. Kata penulis itu lagi satu dari lima mangsa kemalangan adalah mereka yang juga terlibat dengan pertengkaran dengan orang lain dalam lingkungan enam jam sebelum kemalangan. Emmp ini boleh dikira logik juga.

Sangat penting nampaknya mengurus emosi ini. Tidak ada siapa pun yang ingin duduk bersama jika  mereka jangka akan berlaku letupan kemarahan dari sesiapa sahaja dalam kumpulan mereka. Baik keluar sekejap dari mendengar leteran atau m**i hamun. Tentulah lebih ketara jika ketua tidak dapat menahan emosi dan saya percaya sudah tentu lebih banyak yang akan terkena kesan dan tempiasnya bila ianya meletup.

Ketua yang baik dan bagus sudah tentu tahu bila untuk menunjuk dan tahu juga bila untuk menyimpan emosinya. Hahaha macam kucing simpan kukunya.Tetapi kadang-kadang mereka akan tunjuk juga supaya orang akan rasa apa yang mereka rasakan. Tentu ini akan menyebabkan orang akan tersentak atau terbangun atau tersedar. Mungkinkah ini manipulatif atau satu cara menyebabkan orang akan membuat sesuatu atau berkata sesuatu kerana wujudnya rasa bersalah. Selagi ketua merasakan ia melakukannya untuk tujuan kebaikan dan bagi kepentingan jabatan dan bukan kepentingan peribadi saya rasa ianya elok juga dibuat jika perlu. Saya percaya pemimpin melihat lebih dari orang bawahnya, maksud saya melihat kehadapan lebih jauh dan mereka selalunya telah melalui dan merasanya terlebih dahulu. Sudah tahu kesan dan akibat. Sudah tahu perit dan getir. Dengan membenarkan kumpulan atau team anda mengetahui apa perasaan anda ia sebenarnya membantu mereka melihat apa yang anda nampak.

Sebagai pemimpin bila anda menyimpan atau menangguhkan dan juga bila masa anda menunjukan emosi anda ia seeloknya bukanlah semata-mata untuk kepuasan diri anda. Anda sepatutnya bertanya pada diri anda apakah yang diperlukan oleh pasukan anda? Apakah yang anda lakukan untuk masa depan mereka? Bukannya apakah yang boleh membuatkan anda rasa lebih baik atau menguntungkan diri anda sendiri?

Menurut Dr Muhaya, beliau berkata "Fikiran menghasilkan emosi, emosi menghasilkan tindakan, tindakan menentukan hasil kehidupan, iaitu kesihatan, kebahagian, ketenangan dan kesihatan, jika kita mengawal dalaman kita yakni fikiran dan emosi, Insyaallah kita menghasilkan kehidupan yang baik...", "...fikiran yang baik menghasilkan emosi yang baik.."sila lihat video beliau di Inspirasi Bahagia Membahagiakan"

Itulah yang saya baca, dengar dan cuba faham. Itulah juga yang saya cuba lakukan. Melempar itu lebih mudah dari menyambutnya. Kerana yang melempar itu lebih ramai dari dua tangan yang anda ada untuk menyambutnya. Kecuali anda sudah tahu tekniknya anda sambut dengan senyuman. Kerana dengan senyuman anda tidak perlu kata apa-apa.



akan bersambung...

Tuesday, November 20, 2012

Jalinan Untaian Harapan

Saya menerima jemputan Makan Malam Amal, Kasih Rakyat "jalinan untaian harapan".  Majlis makan malam ini dianjurkan oleh pelajar semester 5 Program International Business UiTM Perlis. Turut mencemar duli pada majlis makan malam ini adalah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis. Dalam majlis ini DYTM Tuanku Raja Muda juga turut menerima sumbangan untuk Yayasan Tuanku Syed Sirajudin dan juga sumbangan penganjur kepada Tabung MDAB UiTM yang diterima oleh PM Dr Naimah Mohd Hussin, Timbalan Rektor HEA UiTM Perlis.  Sumbangan dari pihak korporat juga menjadikan majlis ini berjaya dan seramai 30 anak-anak Rumah Amal Hembusan Kasih turut diraikan pada majlis ini. Majlis ini diserikan dengan tarian oleh kanak-kanak, bacaan sajak oleh pensyarah serta nyanyian dari pelajar-pelajar program International Business sendiri.
       Sebahagian dari pelajar yang terlibat dalam penganjuran majlis makan malam amal ini.


pendedahan meningkatkan keyakinan.



Sunday, November 18, 2012

Pemimpin tanpa pengikut?

Anda pemimpin tapi tiada pengikut? Hahaha (ketawa). Pemimpin apa namanya itu? Panggil saja pemimpin tanpa pengikut! Pelikkan? Begini sajalah. Anda ingin jadi pemimpin tetapi anda tidak ada orang di bawah untuk diberi arahan. Kerana anda memang masih di bawah atau di tengah-tengah tapi tidak orang bawah dalam organisasi anda. Jadi bagaimana? Begini sajalah apa kata anda jadi pemimpin pada diri anda dahulu sebelum anda memimpin orang lain. Jika anda sendiri tidak dapat mengikut arahan diri sendiri macam mana orang lain hendak ikut arahan anda? Pernahkah anda bekerja di bawah pemimpin yang tidak dapat mengikut arahan diri beliau sendiri? Mereka menunjukkan contoh yang tidak baik kepada organisasi mereka sendiri. Kalau hendak diberi contoh mudah sangat. Bolehkah anda mengurus diri anda untuk minum pagi pada waktu kerja dalam masa 20 minit? Jika anda mengambil masa 30 hingga 60 minit adakah anda mengurus diri dengan baik? Kita ubah persoalan kepada adakah anda fikir anda pemimpin yang baik untuk diri sendiri?

Belajarlah mengurus diri anda bila berada di bawah. Jangan asik memberi arahan kepada orang yang bukan pengikut anda tetapi banyakkan mengurus arahan diri anda sendiri. Jika anda tidak dapat mengurus diri sendiri maka dengan jelas akan nampak yang anda seorang yang kurang tumpuan, tidak berdisiplin, tidak ada maksud dan tujuan dalam kerjaya.

Orang yang berjaya selalu kita baca dari buku dan juga kita perhatikan secara reality akan membuat keputusan awal melalui perancangan yang diatur dan seterusnya akan menguruskan keputusan tersebut setiap hari. Juga kita dengar mereka akan membuat keputusan yang pelbagai setiap hari dan akan memantau keputusan tersebut tiap-tiap hari juga.

Jika anda seorang yang dapat memimpin diri sendiri dengan cemerlang maka akan jelas kepada ketua anda akan keupayaan dan potensi anda. Melalui peningkatan kekuatan personal anda maka akan dapat membantu peluang kerjaya yang lebih baik bila masanya sampai nanti.


Mengurus diri sendiri memang susah!

Thursday, November 08, 2012

Web of Knowledge Discovery Quiz

Web of Knowledge Discovery Quiz - Malaysia kini kembali dengan hadiah lebih banyak. Thomson Reuters membuka peluang ini kepada Universiti yang melanggan perkhidmatan pangkalan datanya. Sila ambil peluang ini untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Semua pelanggan perpustakaan boleh menyertainya kecuali pustakawan. Terdapat tiga kuiz yang dikatakan mudah dan perlu diselesaikan. Yang terbaik dan tepat tentulah akan menang tetapi jika ramai yang betul maka cabut undilah jawabnya. Itu kira siapa bernasib baiklah akan bawa balik hadiah. Sumber maklumat ini dan penyertaan anda boleh dilayari pada alamat ini :  http://ip-science.thomsonreuters.sg/quizMY/



Anda Layak: Saya Tidak

How to write a great research paper, and get it accepted by a good journal.



Tajuk ceramah: How to write a great research paper, and get it accepted by a good journal.
Penceramah: Newman, Anthony Al. Publisher Life Science Elsevier
Tarikh: 20 November 2012 (Selasa)
Masa:  9:00am - 1:00pm
Tempat: PTAR 2, UiTM Shah Alam.

Bilangan peserta terhad kepada 100 penyertaan (Pensyarah, pustakawan dan pelajar pasca siswazah). Sesi soal jawab selepas ceramah. Sarapan pagi & makan tengahari turut disediakan.

Sebarang pertanyaan mengenai perkara di atas, boleh menghubungi Puan Siti Rohayu Bt Mohd Yusof di talian 03-55211701 atau Encik Shahrol Nizam Bin Johol di talian 03-55211707. Hanya yang cepat dapat.




Wednesday, November 07, 2012

Bagaimana membaca atau membuat Mind Mapping?


Walaupun ianya bukan perkara baru tetapi kita tidak akan ambil kisah hinggalah kita rasa sesuatu missing dalam fikiran kita. Kalau hendak recall dah jenuh dah tetapi susah juga. Mau tak mau kena balik ke sekolah jugalah. Walaupun anak-anak dah lama belajar tetapi depa pakai tak? Mungkin pakai bila perlu macam saya kata dulu, apa yang kita dengar dan yang lekat atau ingat ni sikit sangat. Ilmu tanpa amal jadi macam inilah, lama-lama hilang macam tu saja. Yang kekal sijil dok dekat dinding atau dok dalam folder. Jom baca kat bawah ini macam mana nak peringat balik apa yang kita dengar atau baca. Ianya bukan mengenai doa penerang hati, kalau yang berkaitan dengan doa tu kena tanya ustaz. Ini sebahagian dari teknik nak ingat. Kalau orang lain guna teknik lain tak pa la, tentu banyak teknik ni. Lagi banyak lagi bagus, kita pakat-pakat belajar.

Bagaimana membaca atau membuat Mind Mapping?

1.      Mind Mapping (MM) bermula dari tengah-tengah. Maknanya kita akan mula dengan perkara besar yang kita hendak buat berada ditengah-tengah. Ianya kemudianya akan merebak keluar dari titik tengah tersebut. Bukaannya seperti pokok yang kita lihat dari atas.
2.       Jadi untuk mulakannya perlu ada KERTAS atau sekarang ini boleh saja guna komputer. Kertas ini hendaklah kosong. Guna kertas A4 atau A3 dan dalam bentuk landskap. Lagi besar kertas lagi baguslah.  Tidaklah pulak nanti kena sambung kertas dek kerana kecik sangat kertas tu.
3.       Gunakan IMEJ dalam MM anda. Warnakan imej tersebut bagi menandakan dimana ianya bermula. Imej juga boleh dirujuk kepada simbol atau kod. Gunakan kod warna bagi mengambarkan sesuatu dengan lebih menarik dan mudah untuk diingat. Macam warna lampu trafik tu semua orang tahu maknanya.
4.       Gunakan WARNA dalam MM anda.  Mencampuradukkan warna dalam MM memberikan otak dan badan kita lebih cergas, seronok dan menarik.
5.       Adalah penting idea anda dalam MM ini mempunyai HUBUNGKAIT (Associative). Bila kita MM sesuatu tajuk ianya akan ada perkara logik yang perlu ada dalam tajuk tersebut serta urutan (order) kepada tajuk-tajuk yang dibincangkan. Oleh kerana kaitan-kaitan ini mencantumkan pelbagai idea-idea dalam hubungkait ini maka akan nampak oleh kita bentuk aliran atau pattern keseluruhan tugasan yang kita lakukan.
6.       Kita akan mempunyai GARISAN atau line yang akan bermula dan kemudiannya akan membuka garisan-garisan tambahan  bila idea-idea dalam tajuk baru boleh dikembangkan lagi. Garisan ini hendaklah bersambung dan panjang garisan ini hanyalah untuk satu perkataan sahaja atau lebih mudah ianya perkataan yang sangat pendek.
7.       Maka untuk setiap ranting (branch) baru hendaklah guna PERKATAAN yang pendek dan ditulis besar serta perkataan tersebut hendaklah merupakan kata kunci (key words).
8.       Adalah penting untuk menghasilkan MM yang MENARIK. Jadi bila ada tugasan jadikan ianya sesuatu hasil kerja yang cantik dan kita rasa seronok dengannya.

Terima kasih kepada Tony Buzan penulis buku Use Your Head atas panduan.

Entry berkaitan: Citation Mapping. Kenapa mind mapping?


kongsi, jangan tak kongsi! 

Kenapa Mind Mapping?

Bila umur meningkat rupanya susah untuk mengingat. Biasalah kalau duduk di library kalau ada masalah pergi saja dekat rak cari buku. Jumpa satu buku ini dan belek-belek. Kaedah mengingat paling bagus adalah melalui pembacaan. Samada kita membaca atau mendengar syarahan, kita kena review atau ulangkaji untuk mengingat. Menurut buku tersebut, didapati bahawa manusia akan lupa 80% detail maklumat dalam masa 24 jam jika mereka tidak review bacaan mereka selepas mendengar syarahan atau belajar.

Menurut pengarang buku tersebut apabila kita mengulangkaji, kita hendaklah berhenti sekejap selepas 35 ke 45 minit kita membaca. Perlu berhenti untuk 5 minit. Masa rehat ini jangan ulangkaji balik apa-apa yang dibaca tadi. Masa rehat atau break ini adalah masa  untuk relaxation. Menurut kajian, jika tidak berehat ingatan kita akan menurun ke bawah seperti curamnya piramid. Diingatkan juga jangan mengulangkaji terus menerus tanpa henti hingga dua jam. Ingat dengan break sekejap ingatan anda menjadi lebih tinggi atau lebih bagus.

Ini juga bermakna anda perlu mengulangkaji kerja anda selama 5 ke 6 kali. Banyakkan! Cara terbaik mengulangkaji bila banyak macam ni adalah dengan menggunakan kaedah Mind Mapping. Mind Mappingkan nota anda kerana cara mengulangkaji cara ini akan menggambil masa seminit dua sahaja.


mudah cakap dari buat. kalau nak rasa kenalah buat. Mari kita cuba.

Tuesday, November 06, 2012

Aduh komplain lagi!


Sekarang ini Aduan Maklumbalas Pelanggan (AMP) datang dari pelbagai sumber termasuklah yang diterima melalui fb. Maklumlah yang mendengar dan membaca aduan fb sekarang ini adalah terdiri dari CEO pulak tu. Mahu tak menggelabah staf dekat bawah bila terima aduan. Mana tidaknya kalau yang terkena tu batang hidung sendiri. Tak kiralah hidung penyek atau hidung tinggi. Tetapi prosedure bila menerima aduan tetap sama. Kena siasat dahulu aduan yang diterima, apa yang sebenarnya berlaku. Suruhlah pegawai yang ada tu pergi siasat. Dapatkan laporan dari hasil siasatan tersebut. Ceritalah sikit kenapa masalah boleh berlaku. Siapa yang bertanggungjawab. Ikut prosedur ka tidak? Kalau tidak ikut tanya kenapa? banyakkan kenapa. Bila, bagaimana, di mana, siapa dan lagi-lagilah soalan supaya terjumpa puncanya. Kemudian cadangkan penyelesaiannya samada singkat, sementara atau kalau bagus penyelesaian yang menamatkan aduan tersebut. Akhir sekali beri cadangan pencegahan agar perkara yang sama tidak boleh berlaku kembali. Kemudian pantau penyelesaian yang telah dibuat agar ianya berkesan. Jika tidak, perbetulkan atau guna kaedah lain. Maklumkan kepada pengadu tindakan yang telah dibuat. Ucaplah terima kasih atas aduan tersebut atau mohon maaf jika perkara tersebut menyusahkan pengadu.

Kalau nak melompat bila orang komplain tu rasanya tak kenalah. Kalau beri perkhidmatan kena open sikit minda tu. Orang komplain kerana mereka memerlukan perkhidmatan kita. Perkhidmatan tak baik, baikilah. Baiki, baiki, baiki itulah caranya business. Cari produk baru, buat, test dan cuba tengok. Orang komplain lagi, baiki lagi dan hasilkan yang terbaik. Selalunya orang tidak komplain kalau mereka berpuas hati atau yang kita takut jika mereka tidak guna produk kita pun. Produk outdated kalau kita bagipun mungkin mereka tidak guna. Produk yang bergerak dengan perubahan zaman memanglah memerlukan komplain kerana kalau tidak produk tersebut akan ketinggalan zaman. Sekarang ni prosedur yang ketinggalan zamanpun banyak tetapi dengan komplainlah baru boleh ubah. Tambah lagi kalau nak ubah kena guna pulus. Masa tu kita akan kata komplain please! kami perlukan komplain, tolonglah komplain lagi. ha ha ha


biasalah kita komplain orang, orang komplain kita. Yang penting NIAT bila buat komplain.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Nuffnang Ads