Program Korban UiTM Perlis 2013



Program Korban UiTM Perlis 2013 menyaksikan sebanyak 17 ekor lembu telah ditumbangkan bagi memenuhi hajat para muslimin dan muslimat yang menjalankan ibadah korban dan juga akikah. Seekor darinya adalah sumbangan dari kerajaan negeri untuk dibuat kenduri.

Program kali ini lebih menarik kerana penyertaan dari pihak alumni UiTM Perlis sendiri. Mereka kini sudah berjawatan besar tetapi sanggup turun ke Arau menyertai warga UiTM Perlis dan sama-sama bergotong royong memotong daging untuk dimasak dan juga untuk diagihkan kepada warga UiTM dan penduduk sekeliling. Wakil-wakil dari Program masjid sahabat juga turut hadir memeriahkan program kali ini.

Ianya satu sejarah dalam Program Korban pada kali ini dimana pihak pembekal lembu sengaja membawa lebih seekor lembu. Semasa program berlangsung tawaran dibuat kepada mereka yang ada di situ untuk menyertai 7 tompok (bahagian) yang masih kosong. Harga satu tompok adalah RM450 sahaja. Alhamdulillah kesemua tompok habis dibeli oleh staf dan juga tetamu yang hadir dan menjadikan jumlah lembu yang dikorban dan diakikahkan menjadi 16 ekor.




Sambutan daripada staf dalam menyertai program ini sangat menggalakan kerana iklan dari awal lagi telah dikeluarkan oleh pihak Korporat UiTM Perlis dan juga pihak ACIS yang menjadi pengerak utama program ini.

Dalam pengagihan daging korban, Jawatankuasa Program memberi 3 pilihan kepada peserta atas bahagian daging korban:

1. Serah kesemuanya kepada Urusetia untuk agihan
2. Ambil bahagian (tompok) kesemuanya
3. Ambil 1/3 daripada bahagian (2/3 diserahkan kepada Urusetia untuk agihan)

Firman Allah (S.W.T) yang bermaksud " Sesungguhnya kami (Allah) telah memberi engkau (Muhammad) kebaikan yang banyak. Maka "sembahyanglah engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (korbanmu)". (Al-Kautsar:1-2)

Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…”
(Riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)



Terima kasih kepada semua staf yang bergotong royong menyempurnakan ibadah korban kali ini. Terima kasih kepada penderma-penderma untuk majlis kenduri. Anda semua membantu hajat kawan-kawan yang menyertai ibadah ini. Terima kasih banyak-banyak. Jumpa lagi pada tahun hadapan InsyaAllah dengan lebih ramai penyertaan.

Comments

Popular Posts