KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI

Saya telah melalui beberapa era kepimpinan dalam organanisasi sama seperti pembaca sekelian. Saya juga membaca beberapa buku tentang kepimpinan dan cuba memahami dengan melihat sekeliling apa yang telah berlaku. Rasanya elok saya berkongsi dengan pembaca apa yang mereka kata dan apa yang saya faham.

Pada masa ini jika kita melihat disekeliling, kita dapati pelbagai orang secara sedar atau tidak mereka merupakan seorang pemimpin. Walau bagaimanapun apabila kita bertanyakan mereka samada mereka suka menjadi pemimpin kebanyakan akan menjawab tidak. Kenapa dalam organisasi kita ramai yang takut untuk menjadi pemimpin? 

Ramai yang  takut untuk memimpin kerana berpendapat, mereka hanya  berada pada peringkat tengah dalam organisasi. Bukannya di peringkat yang tinggi. Tetapi tahukah kita, kita perlu juga memimpin secara kecil-kecilan kerana walaupun kita berada di peringkat tengah, kita masih mempunyai staf di bawah kita!


Kadang-kadang kita terpaksa menjadi pemimpin kerana dalam peringkat yang sama kita terpaksa menyelesaikan masalah secara berkumpulan. Seseorang perlu memimpin. Ada orang sangat bagus dalam memimpin kumpulannya walau bagaimanapun tidak dapat membuat perkara yang sama kepada jabatan atau kumpulan lain. Ada orang boleh menyesuaikan diri dengan semua orang tetapi dalam perlaksanaan kerja tidak dapat membuatnya dengan baik. Sementara ada juga orang yang sangat produktif tetapi tidak dapat pula menyesuaikan diri dengan sesiapapun.


Pemimpin yang baik dapat mempengaruhi orang pada semua 
peringkat. Dengan membantu orang lain mereka membantu diri mereka juga. Kenapa ramai yang tidak mahu menjadi pemimpin? Di bawah ini saya catatkan antara sebabnya.

Pemimpin perlu jawatan
Selalunya orang akan mengatakan beliau bukanlah seorang pemimpin disebabkan beliau tidak memegang apa-apa  jawatan atau kedudukan. Beliau pula dalam kumpulan yang bukannya di peringkat atasan. Ada orang tidak suka memimpin kerana beliau tidak diberi jawatan dalam pasukannya. Orang begini tidak akan selesa dan akan berasa gelisah bila berada dalam pasukan. Selain berusaha memperbaiki perhubungan dengan ahli kumpulan beliau juga akan membuat keadaan yang memberi keuntungan kepada kedudukannya dalam pasukan dan berharap dengan cara ini kelak beliau akan ditawarkan jawatan. Sesiapa yang  membuatkan dirinya dalam keadaan begini tentu tidak faham tentang bagaimana pemimpin yang berkesan dibentuk.


Terdapat lima
peringkat kepimpinan yang boleh dibentuk dalam diri anda.


  1. Kedudukan /Position
Ianya hak (Rights) kerana kedudukan anda. Orang mengikut kepimpinan anda kerana mereka terpaksa. Anda mempunyai kedudukan yang memberi anda hak untuk memimpin. Keberkesanan kepimpinan anda tidak melebihi garis had tugasan kerja sahaja. Lagi lama anda berada pada tahap ini lagi banyak yang bebanan dan lagi kurang nilai moral anda.

Ini adalah tahap dimana anda boleh bermula sebagai pemimpin. Tak kiralah apa jawatan anda samada sebagai jurujual, pembantu tadbir, timbalan pengarah dan sebagainya. Dari jawatan yang anda ada, anda mempunyai sedikit kuasa atau hak untuk memimpin. Kalau kuasa ini anda gunakan, anda hanyalah mengunakan kedudukan sahaja untuk memimpin dan orang mengikut perintah anda kerana kedudukan anda sahaja. Mereka mengikut dalam lingkungan kuasa yang anda ada.  Lagi rendah kedudukan anda lagi sedikit kuasa yang ada pada anda. Walau bagaimanapun anda boleh meningkatkan kuasa ini melebihi jawatan dan kedudukan anda dengan cara menaiki tangga kepimpinan yang dicatatkan di bawah ini.


  1. Kebenaran / permission
Orang atau staf anda memberi kebenaran untuk anda memimpin  kerana cara perhubungan (Relationship) anda yang baik. Orang mengikut anda kerana mereka ingin ikut. Orang mengikut anda melebihi had kuasa anda. Peringkat ini menjadikan kerja sebagai sesuatu yang menyeronokan. Walau bagaimana pun membiarkan seseorang terlalu lama dalam situasi ini akan menyebabkan mereka yang bermotivasi ini akan merasa penat.

Jika anda berada di peringkat ini, anda akan memimpin melebihi kedudukan jawatan atau kedudukan yang anda ada. Sebabnya anda sudah mempunyai perhubungan dengan mereka yang anda pimpin. Anda melayani mereka dengan sepenuh hati dan juga penuh hormat. Anda menilai mereka sebagai manusia. Anda mengambil berat tentang mereka bukan sahaja kerana pekerjaan yang mereka  boleh buat untuk anda atau organisasi anda. Tetapi disebabkan anda mengambil berat tentang mereka maka mereka mempercayai dan rela dipimpin oleh anda. Ini bermakna mereka sedia mengikut kerana mereka hendakkan kepimpinan anda.

  1. Keberhasilan / production
Anda dapat memimpin kerana pengikut anda suka dengan keputusan (results) yang dihasilkan dari kepimpinan anda. Mereka mengikut anda kerana apa yang telah anda lakukan kepada organisasi anda. Ini dipengaruhi oleh kejayaan yang menyebabkan ramai yang berasa untung. Mereka suka apa yang anda buat. Masalah dapat diselesaikan dengan sedikit usaha disebabkan adanya momentum ini iaitu kesan kejayaan dahulu.

Anda berada dalam peringkat ini kerana keberhasilan yang anda capai bersama-sama dengan orang lain yang juga berkerja keras bagi mencapai hasil tersebut.  Jika mereka mencapai apa yang dikehendaki hasil dari kepimpinan anda sudah tentu mereka akan mahu lebih lagi kepimpinan anda untuk projek yang akan datang. Mereka mengikuti anda kerana apa yang anda telah lakukan untuk organisasi anda.

  1. Perkembangan manusia / people development.
Anda memimpin untuk membentuk semula (Reproduction) pemimpin pelapis. Sudah tentu mereka akan suka kerana apa yang anda telah lakukan semuanya untuk mereka. Ini disebabkan kepimpinan anda menwujudkan perancangan jangka panjang. Usaha anda dalam membentuk pemimpin membolehkan perkembangan kepada organisasi dan juga staf. Anda buat apa saja untuk mencapai hal ini dan sentiasa berada dalam peringkat ini.

Untuk mencapai peringkat ini anda hendaklah merancang dan menumpukan kepada orang lain. Ianya perancangan kepimpinan atau sumber manusia atau pengantian. Tugas anda adalah untuk memimpin mereka menjadi pemimpin. Menjadi mentor, membangunkan skil dan mengasah bakat kepimpinan mereka.  Apa yang anda buat adalah menjadi pusat pengeluaran pemimpin. Anda nilai mereka kemudian tambahkan nilai dan jadikan mereka bernilai.  Pada peringkat ini mereka mengikut anda disebabkan apa yang anda telah buat.

  1. Perhubungan manusia/ personhood
Anda diterima sebagai pemimpin kerana rasa hormat (respect) mereka kepada anda. Mereka mengikut anda kerana diri anda dan apa yang anda tampilkan. Pemimpin begini adalah orang yang begitu lama berusaha membangunkan manusia dan organisasi. Pemimpin begini tidak ramai. Selalunya pemimpin yang melakukan usaha ini akan terkenal selama-lamanya.

Peringkat ini bukan anda yang bergerak untuk dapatkannya. Peringkat ini anda tidak dapat kawal. Orang lain yang meletak anda di sini. Mereka melakukan ini kerana anda berjaya membawa mereka dari peringkat satu hingga ke peringkat empat. Mereka yang mendapatkan peringkat  ini untuk anda.

Kepimpinan adalah dinamik. Dan hak untuk memimpin perlu diperolehi secara sendiri dengan setiap orang yang anda jumpa. Peringkat di mana anda berada bergantung kepada pengalaman anda. Selalunya seseorang itu bermula dari peringkat bawah.

Kesimpulan

Kepimpinan adalah sesuatu perkara yang kita buat dan ianya bukan suatu tempat yang kita duduk. Kita boleh memimpin orang lain dimana-mana sahaja dalam organisasi. Bila anda lakukannya anda membuat organisasi tersebut lebih baik.  Ada pemimpin berkata bahawa bila seseorang berada ditengah dan tidak membuat apa-apa(memimpin) maka ia akan menjadikan ketuanya berasa susah untuk bergerak. Bagi sesetengah pemimpin ianya seperti batu yang tersangat berat dan boleh mematikan mereka. Pemimpin ditengah-tengah ini memberi kesan yang mendalam kepada organisasi. Setiap peringkat dalam organisasi bergantung kepada kepimpinan seseorang. Asasnya, kepimpinan adalah sesuatu perkara yang kita buat dan ianya bukan suatu tempat yang kita duduk. Sesiapa sahaja boleh memilih untuk menjadi pemimpin dimana sahaja kedudukannya. Anda boleh membuat perubahan tidak kira dimana anda berada.


Comments

Popular Posts