Transformasi Profesion Kepustakawanan di dalam Era Digital




TEKS UCAPTAMA
DATO’ RASLIN BIN ABU BAKAR
KETUA PENGARAH
PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA
SEMPENA SEMINAR KEBANGSAAN SUMBER ELEKTRONIK DI MALAYSIA 2012 : “MEMPERKAYA AKSES KEPADA
SUMBER ELEKTRONIK”
PADA
5 DISEMBER 2012, JAM 9.00 – 10.00 PAGI,
DI BAYVIEW BEACH RESORT, PULAU PINANG

TAJUK : “TRANSFORMASI  PROFESION KEPUSTAKAWANAN DI DALAM ERA DIGITAL”

--------------------------------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia


Saudara/i Pengacara Majlis

Brigedier Jeneral Dato’ Professor Dr.Kamarudin Hussin
Naib Canselor, Universiti Malaysia Perlis

Pn. Mazmin Mat Akhir
Pustakawan Kanan
Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UNIMAP






Tetamu-tetamu Kehormat;

Tetamu-tetamu jemputan khas;

Para pembentang kertas kerja seminar;

Ahli-ahli Malaysian Online E-Resources Consortium (MOLEC);

Para Pustakawan, Tuan-tuan dan puan-puan, para peserta seminar yang saya hormati sekalian.

MUKADIMAH

Hadirin Sekalian,


1.        Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan Kudrat, dan Inayah-Nya, kita semua dapat hadir berkumpul bersama-sama di majlis ilmu, iaitu Seminar Kebangsaan Sumber Elektronik di Malaysia 2012. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur, iaitu Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), atas inisiatifnya menganjurkan  seminar ini, dengan kerjasama Malaysian Online e-Resources Consortium (MOLEC) yang bertemakan “Memperkaya Akses Kepada Sumber Elektronik” .

2.      Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pengnjur, Perpustakaan  yang telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucaptama berkaitan “Transformasi Profesyen Kepustakawanan di dalam Era Digital. To the international presenters, I would also like to take this opportunity to extend a very warm welcome to Malaysia, “SELAMAT DATANG.” I wish you a pleasant stay in Malaysia and please take the opportunity to visit our beautiful country. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran semua tetamu jemputan, para Pustakawan  dan para peserta ke seminar  ini.

PERUBAHAN MEGA : REVOLUSI DIGITAL

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

3.            Ledakan maklumat  bermula sekitar tahun 60-an lagi dan susulan daripada itu, kita dapat menyaksikan perkembangan dan pertumbuhan pesat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bermula seawal dekad 80-an lagi. Tidak dapat dinafikan, kemunculan ICT telah banyak merubah cara hidup manusia termasuk kita yang digelar sebagai “Pustakawan”.  Kepesatan ICT di Malaysia serta dengan munculnya Internet sekitar awal 90-an telah membuatkan  dunia yang kita duduki ini umpama semakin mengecil di mana komunikasi, interaksi dan perhubungan tidak lagi ada batasannya.

Kini, pada abad ke-21, kita sekali lagi berganjak ke era digital. Sudah pasti, profesyen kepustakawanan juga mengalami perubahan yang begitu ketara. Kita tidak dapat lari dari revolusi digital yeng menyaksikan perubahan berskala mega. Ini lah yang kita sebutkan sebagai “Big Change Revolution”. Keperluan pengguna berubah dan Perpustakaan perlu berubah.  Yang paling utama, Pustakawan perlu berubah. “It’s not about technology, it is all about people”. It is all about us “A Librarian”.

KE ARAH DIGITAL MALAYSIA – FENOMENA MODEN

Hadirin yang saya muliakan,

4.   Sekarang  kita berada di era digital, dunia tanpa sempadan dan profesyen kepustakawanan kita, pada hakikatnya kini mengalami pelbagai perubahan yang begitu ketara dan semakin mencabar. Fenomena moden seperti ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy), globalisasi, liberalisasi, urbanisasi, ledakan teknologi serta revolusi digital menyaksikan perubahan berskala mega terus melanda persekitaran di sekeliling kita yang mungkin tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. Sesungguhnya fenomena perubahan ini menuntut institusi perpustakaan untuk segera melakukan perubahan secara holistik. Berikutan dengan ini, profesyen kepustakawanan dan peranan Pustakawan kini dilihat semakin mencabar.

KE ARAH DIGITAL MALAYSIA – KNOWLEDGE BASED SOCIETY

5.  Tidak dapat kita nafikan bahawa perpustakaan mempunyai peranan dan memberi sumbangan yang penting di dalam mewujudkan masyarakat berilmu (knowledge based society), berbudaya membaca dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning). Secara asasnya, masyarakat berilmu adalah faktor penentu kepada hasrat kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti. Justeru peranan yang dimainkan oleh Perpustakaan adalah penting dan pustakawan tidak terkecuali daripada melakukan transformasi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang telah dilancarkan baru-baru ini.  Sebagai agensi pelaksana yang mencernakan perkhidmatan kepada para pelajar sekolah dan mahasiswa, Pusat Sumber Sekolah dan Perpustakaan Gunasama di bahawa Kementerian Pengajian Tinggi perlu menilai semula peranan yang dimainkan bagi memastikan evolusi perkhidmatan yang disediakan  dapat dioptimakan.

KE ARAH DIGITAL MALAYSIA – KOMITMEN KERAJAAN

6.  Diperingkat nasional, komitmen Kerajaan bagi memenuhi jangkaan rakyat untuk melihat transformasi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi lebih besar kepada Negara tidak terhenti dengan Inisaitif Jalur Lebar Nasional (NBI) yang telah dilancarkan pada tahun 2010. Jika sebelum ini, melalui Inisiatif Jalur Lebar Negara kita telah didedahkan dengan Program seperti Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), Kampung WIFI dan pengagihan Komputer Riba 1Malaysia, kini Kerajaan mengorak langkah dengan memperkenalkan Program Nasional yang dikenali sebagai Digital Malaysia. Secara amnya, tiga (3) matlamat utama Digital Malaysia adalah untuk meningkatkan sumbangan ekonomi negara dalam bidang digital, meningkatkan produktiviti sektor ekonomi negara dan khusus juga bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Malaysia. Mungkin kita tertanya-tanya, apakah sumbangan utama kita sebagai pustakawan ke arah menjayakan Digital Malaysia.  Sudah pasti menyentuh kepada inisiatif digital di mana peranan  kita adalah untuk menyediakan capaian kepada kandungan digital (born digital/digitized), menyediakan capaian dalam talian (24 x 7) serta melengkapkan infrastruktur perpustakaan bagi tujuan capaian secara menyeluruh.

ASAS TRANSFORMASI PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN

Tuan-tuan dan puan-puan.

7.  Berbalik kepada perkhidmatan perpustakaan masa kini, kita dapat lihat dengan jelas bahawa peranan perpustakaan telah berubah daripada menyediakan perkhidmatan secara tradisional kepada perkhidmatan secara maya. Persoalannya, yang pertama, bagaimanakah kita Pustakawan dapat memastikan perkhidmatan perpustakaan adalah lebih baik daripada yang kita sediakan pada hari ini dan yang kedua, jika ada yang menganggap kita kurang relevan, apakah jalan terbaik untuk kita menggerakkan peranan perpustakaan secara holistik agar kembali kukuh serta berada pada tahap yang mampan. Secara asasnya, setiap perpustakaan tidak dapat lari dari kriteria-kriteria berikut:

(i)          Pertama, mempunyai koleksi bahan rujukan terkini yang mampu memenuhi keperluan maklumat pengguna sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik;
(ii)         Kedua, menyediakan perkhidmatan maklumat yang terkini selari dengan trend terkini pencarian maklumat oleh pengguna;
(iii)       Ketiga, menyediakan kakitangan perpustakaan yang kompeten dalam pengurusan maklumat media baru dan berkebolehan membantu dan membimbing pengguna menginterpretasi dan mencapai sumber maklumat yang diperlukan;
(iv)  Keempat, menyediakan ruang kemudahan dan fasiliti yang lengkap dan kondusif yang mampu menjadi tarikan kepada seluruh anggota masyarakat seterusnya menggalakkan minat membaca dan budaya ilmu serta inovasi;dan
(v)          Akhir sekali menjalankan program literasi maklumat atau  ”hands on training” yang dapat memberikan impak yang positif kepada pengguna dengan kos yang efektif. Kita harus sentiasa berfikir diluar kotak bagaimana cara untuk kita menjual atau mempromosi  kandugan digital yang kita ada.
  
TRANSFORMASI PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN SECARA HOLISTIK

8. Adalah amat penting untuk kita membuat analisis terhadap perkhidmatan dan sumber elektronik yang disediakan oleh perpustakaan.  Janganlah kita memandang kepada kuantiti kandungan digital yang kita sediakan tetapi berapa ramai pengguna yang melayari dan menggunakan bahan yang kita sediakan. Kejayaan profesyen kepustakawanan di Malaysia bukan bergantung kepada hanya 1,2 atau 3 perpustakaan di Malaysia. Pembangunan profesyen kita menuntut satu falsafah atau perjuangan induk yang merentas  12,358 perpustakaan di Malaysia. Saya menyeru semua perpustakaan untuk meningkatkan hunbungan kerjasama dan kolaborasi serta menukar business model sedia ada dengan berorientasikan holistic people approach untuk menarik minat masyarakat menggunakan perkhidmatan perpustakaan.

CABARAN ERA DIGITAL : DI MANA KITA SEKARANG DAN SEJAUH MANA PERANCANGAN KITA
  
9. Seringkali juga banyak pihak mengajukan soalan “Adakah perpustakaan masih diperlukan dengan adanya Google? ATAU Adakah profesion pustakawan masih releven dalam era born digital ? Sudah pasti, jawapan saya sebagai Ketua Perkhidmatan Perpustakaan ialah “Pustakawan adalah satu profesion yang unik dan sentiasa berkembang.  Perpustakaan dan Pustakawan  akan semakin  releven dalam dunia ekonomi berteraskan ilmu pengetahuan”.  Rasionalnya adalah kerana Pustakawan adalah Pengurus Maklumat yang mempunyai kemahiran mengorganisasi maklumat, menilai maklumat dan menyebar maklumat secara efektif  kepada pengguna.  Justeru, untuk mencapai Wawasan 2020, Malaysia memerlukan pengurus ilmu iaitu pustakawan yang kompeten untuk mendidik masyarakat mencipta, berkongsi dan menggunakan maklumat.  Di samping itu, pustakawan juga perlu sentiasa meneroka, menggali, mengadun dan memperdagangkan ilmu sebagai satu komoditi.
  
CABARAN ERA DIGITAL :  MENILAI SEMULA PENCAPAIAN DAN  MENGADAPTASI PERUBAHAN

10.  Kita selaku Pustakawan perlu menilai semula peranan kita iaitu daripada menjadi penjaga sumber maklumat kepada pengurus maklumat yang berilmu dan cekap dalam penyampaian maklumat secara berkesan selari dengan trend masa kini.  Dalam hal ini, kita perlu meneroka dan memanfaatkan teknologi terkini dan sesuai untuk menyampaikan perkhidmatan yang kreatif dan inovatif.   Di samping itu, pustakawan perlu senantiasa peka kepada setiap pembaharuan, perubahan, atau pemikiran baru dalam bidang kepakaran khusus dan umum yang mana akan membolehkan mereka menyampaikan perkhidmatan dengan lebih kompetitif.

11.  F.W. Lancaster pernah berkata bahawa peranan Pustakawan di masa depan akan lebih mencabar dan perlu mengadaptasi perubahan yang berlaku di persekitaran. Bagi beliau, Pustakawan seharusnya memainkan peranan penting sebagai  perunding atau konsultan maklumat yang mana mereka seharusnya memikirkan jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan kritikal berikut. Pertamanya, adakah permintaan kepada maklumat semakin meningkat? Keduanya, adakah masyarakat masih memerlukan bantuan professional di dalam menyelesai dan memenuhi keperluan maklumat mereka? Dan yang ketiga, adakah profesyen kepustakawanan dapat disesuaikan mengikut dalam persekitaran yang sentiasa berubah dan bagaimana ia bertindakbalas terhadap cabaran-cabaran yang mendatang.

CABARAN ERA DIGITAL:  DASAR DAN GARIS PANDUAN

12.  Perubahan dasar semasa Kerajaan juga menuntut pustakawan masa kini supaya mara kehadapan dalam menghadapi cabaran yang dihadapi Negara pada masa kini untuk memastikan kita dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mentransformasi Malaysia kepada masyarakat kreatif, inovatif dan berilmu. Pustakawan perlu lebih berani untuk melaksana transformasi dalam perkhidmatan perpustakaan melalui penjenamaan semula. Bagi merialisasikannya, dasar dasar perkhidmatan perpustakaan yang sedia ada perlu dikaji semula dengan mengambilkira kandungan digital dan trend perkhidmatan perpustakaan masa kini. PNM sendiri pada tahun 2010 telah menggubal Dasar Pendigitalan Koleksi Perpustakaan serta Garis Panduan Pendigitalan Koleksi Perpustakaan selaras dengan usaha untuk memastikan kandungan digital perpustakaan dapat diakses dengan mudah dan cepat serta dipelihara sebagai koleksi warisan Negara.

Di sini, saya menyeru semua perpustakaan di Malaysia agar mengambil perhatian dengan penggubalan dasar ini kerana peranan tuan-tuan dan puan-puan dalam melaksanakan aktiviti pendigitalan secara terancang  merupakan penentu ke arah kejayaan Digital Malaysia yang menjadi hasrat kerajaan. Ke arah menggandakan peranan semua perpustakaan di Malaysia, PNM juga akan  bekerjasama dengan semua perpustakaan dan agensi berkaitan bagi menyediakan Dasar Maklumat Negara.

ERA DIGITAL : KERELEVANAN PERPUSTAKAAN

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

13.  Saya percaya bahawa lain-lain perpustakaan di negara ini juga mempunyai inisiatif dan daya usaha di peringkat masing-masing untuk menyediakan perkhidmatan perpustakaan secara digital amnya dan menyediakan kemudahan akses kepada sumber-sumber ilmu dan maklumat digital khasnya. Saya secara peribadi berasa bangga dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan dan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh konsortium perpustakaan-perpustakaan akademik di Malaysia, menerusi PERPUN dan MOLEC yang saya kira, telah dapat membangunkan rangkaian perkhidmatan perpustakaan digital secara usahasama. Menerusi pendekatan usahasama ini, perkongsian akses kepada sumber elektronik di kalangan perpustakaan terlibat dapat digalak dan direalisasikan.
Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan perkhidmatannya dimantapkan lagi pada masa-masa yang akan datang.

SISTEM RANGKAIAN PERPUSTAKAAN DIGITAL NASIONAL (PERDANA)

14.  Sistem Rangkaian Perpustakaan Digital Nasional atau lebih dikenali sebagai PERDANA yang telah kita mulakan sejak tahun 2000, perlu kita realisasikan bersama. Di dalam merealisasikannya, setiap perpustakaan di negara ini, khususnya  perpustakaan awam, perpustakaan akademik, perpustakaan Khusus/Gunasama mempunyai peranan penting masing-masing. Kerjasama dan perkongsian sumber-sumber elektronik di kalangan perpustakaan adalah begitu digalakkan.

INISIATIF DIGITAL PNM

15.  Di Perpustakaan Negara Malaysia sendiri, kami sedang dan akan terus mempergiatkan lagi  usaha pendigitalan  dan memperkayakan lagi kandungan digital tempatan. Portal sumber elektronik PNM yang kini boleh diakses di www.pnmdigital.gov.my telah dapat dibangunkan pada tahun ini di mana ia menyediakan akses kepada pelbagai sumber elektronik dan perkhidmatan pangkalan data seperti Encyclopedia Brittanica Online, Credo Reference, akses kepada e-majalah Zinio, perkhidmatan peminjaman e-buku secara dalam talian menerusi Overdrive dan sebagainya.  Repositori digital bagi PNM menggunakan Dspace juga telah dapat kami bangunkan pada tahun ini di mana ianya menghimpun dan kelak akan menyediakan akses kepada koleksi-koleksi unik PNM yang telah didigitalkan.  PNM juga tidak ketinggalan telah membangunkan pelbagai kandungan digital dalam bentuk portal/laman web, demi memperkayakan sumber ilmu digital tempatan.

PUSTAKA 1MALAYSIA

16. Inisiatif Pustaka 1Malaysia atau u-Pustaka juga telah diperkenalkan sebagai usaha dan inovasi terbaru, di bawah Pelan Induk Jalur Lebar Negara di mana inisiatif ini, memberikan perkhidmatan perpustakaan kepada rakyat, dengan memanafatkan teknologi jalur lebar negara. Projek ini merupakan sinergi kolaborasi daripada KPKK menerusi SKMM dngan sokongan penglibatan 8 konsortium perpustakaan seperti PNM, Perpustakaan INTAN, Pustaka Negeri Sarawak, Perpustakaan Negeri Sabah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan dan Perpustakaan Kuala Lumpur. Selain menyediakan perkhidmatan peminjaman buku secara dalam talian serta khidmat penghantaran buku ke rumah menerusi Poslaju, u-Pustaka turut menyediakan akses kepada sumber ilmu dan maklumat digital. Menyedari kepentingan literasi maklumat dalam , PNM dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menyiapkan satu Modul Literasi Maklumat dan Media dengan mengambilkira perkembangan kandungan digital masa kini.

KONSORTIUM PANGKALAN DATA  (SECARA BERSEPADU)

17.   Dalam konteks menyediakan perkhidmatan perpustakaan secara digital, adalah penting bagi setiap perpustakaan di negara ini mengambil segala daya dan inisiatif untuk membangun dan menyediakan perkhidmatan perpustakaan secara digital di peringkat masing-masing. Ia hendaklah dilaksanakan secara terancang, sistematik dan bersepadu dengan mengambilkira keperluan pengguna, kemampuan serta perkembangan teknologi semasa.  Pemilihan perkakasan, perisian, teknologi dan sistem perpustakaan digital yang bersesuaian hendaklah senantiasa diambilkira. Kerjasama di dalam membangunkan sesuatu inisiatif atau projek rangkaian perkhidmatan perpustakaan digital, di kalangan perpustakaan adalah amat digalakkan. 
Saya tertarik dengan ungkapan Dr. Vinod Chachra, President & CEO VTLS iaitu “Generally, good things do not happen by accident. Develop a plan and strategy to address the issues- One cannot do everything; Pick and choose what is appropriate for your library.”

PENGORGANISASIAN KANDUNGAN DIGITAL

18. Justeru, saya sekali lagi  menyeru semua pustakawan agar bekolaborasi demi memastikan kemajuan pembangunan dan relevansi perpustakaan di Malaysia dapat mendapat menjadi keyataan dan direalisasikan secara berskala besar serta mampu memberi “high Impact” kepada semua lapisan masyarakat.

Sama-samalah kita pastikan koleksi-koleksi digital yang dibangunkan menerusi aktiviti pendigitalan diorganisasi dengan sebaik mungkin dan disediakan aksesnya oleh perpustakaan untuk manfaat para penggunanya.  Begitu juga dengan perkhidmatan pangkalan data yang dilanggan oleh perpustakaan, ia juga seharusnya sesuai dengan keperluan pengguna dan dapat disediakan kemudahan mengaksesnya menerusi laman sesawang perpustakaan. Segala koleksi  serta perkhidmatan perpustakaan yang telah disediakan secara digital wajar diperkenal dan dipromosikan kepada kumpulan sasaran agar mereka dapat mengguna dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Selain dari itu, lain-lain perkhidmatan perpustakaan yang disediakan secara dalam talian hendaklah bersifat mesra pelanggan serta mudah untuk digunakan.

Apa yang penting sekali, kita pustakawan atau secara amnya rakyat 1Malaysia di alaf born digital, perlu memegang slogan ”live and let live” berdasarkan konsep kolektif ”together we do it” dan keperkasaan (greatness) sesebuah negara adalah tanggungjawab kita bersama (collective responsibilities).

CABARAN PERPUSTAKAAN: PENGGUNA ERA DIGITAL

Tuan-tuan dan puan-puan,

19.    Selera pengguna kita, terutamanya dari kalangan generasi muda kini, ternyata telah berubah.  Jika dahulu, kita menunggu pelanggan datang ke premis perpustakaan untuk mengguna atau meminjam koleksi-koleksi perpustakaan yang ada, tetapi sekarang, tidak lagi. Mereka lebih selesa menggunakan  mobile phone, ipad, MP3, laptop  dan lain lain gadjet serta media sosial seperti facebook, twitter, blog dalam mendapatkan maklumat dan berinteraksi. Keperluan maklumat mereka lebih kompleks. Golongan ini begitu responsif dan mahukan perkhidmatan perpustakaan yang lebih cekap, mesra dan berkualiti.  “Its’ all about “Zero Tolerance for Delays” All they want is Instant Results” .

20.   Kita melihat bahawa cabaran besar perkhidmatan perpustakaan pada hari ini ialah perubahan persekitaran yang dinamik serta ekspektasi pelanggan dan juga stakeholders yang semakin tinggi. Kini, dengan kewujudan perpustakaan digital, sumber maklumat yang dimiliki oleh perpustakaan dalam pelbagai format, dapat disatukan, direkod, dilayari dan dicari di dalam internet.

Malahan, bagi memenuhi tend pengguna perpustakaan masa kini, perpustakaan digital juga perlu menyediakan koleksi multimedia yang jauh lebih fleksibel dan padu di mana boleh dilayari dan dicari dalam pelbagai dimensi dan membolehkan penglibatan aktif pengguna. Senario ketika ini, kita dapat melihat bahawa kebanyakan perpustakaan di negara kita kini sedang giat berusaha mentransformasikan perkhidmatan mereka secara digital. Begitu juga dengan usaha-usaha pendigitalan koleksi serta penyediaan akses kepada sumber ilmu dan maklumat secara digital, kini  sedang dan akan terus dilaksanakan oleh kebanyakan perpustakaan di negara ini. Saya menyambut baik usaha ini berharap inisiatif ini dapat diteruskan demi memenuhi keperluan pengguna perpustakaan kita.

KE ARAH TRANSFORMASI PUSTAKAWAN ERA DIGITAL: KURIKULUM PENGAJIAN SAINS PENGURUSAN MAKLUMAT
Sidang hadirin sekalian,

21.   Melihat dari segi pendidikan dalam bidang kepustakawanan, saya bangga melihat peningkatan IPT yang menawarkan pengajian dalam bidang kepustakawanan dan maklumat. Sehingga kini, kursus ini telah ditawarkan di 5 buah IPTA iaitu UiTM, UM, UIAM, UNISEL dan USIM. Ini membuktikan bahawa kursus dalam bidang kepustakawanan dan maklumat semakin berkembang dan mendapat pengiktirafan dan menjadi pilihan di kalangan pelajar lepasan sekolah. Perkembangan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah perjawatan untuk diisi oleh bakal graduan dalam profesion kepustakawanan pada masa akan datang apabila tamat pengajian nanti. Walau bagaimanapun pada masa yang sama, saya juga berharap, agar kurikulum pendidikan sains kepustakawanan yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dapat dikaji, disusun semula dan sekiranya perlu, ditambahbaik serta dimantapkan lagi dari segi pengisiannya agar seiring dengan kehendak semasa. Saya percaya, pihak sekolah-sekolah sains kepustakawanan di Negara kita akan dapat merancang modul-modul pembelajaran yang bersesuaian dan relevan dengan persekitaran perpustakaan digital,  dan seterusnya dapat menjana bakal-bakal Pustakawan professional yang berkemahiran tinggi, khususnya dari segi ICT.

22.   Sebagai mana yang pernah dinyatakan oleh Michael Koenig, dalam artikel penulisan beliau “Education for Special Librarianship”, antara lainnya bermaksud bahawa “pendidikan dalam bidang kepustakawanan, mulai abad ke 21, seharusnya berupaya untuk menyediakan bakal-bakal graduan yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pasaran kerja bahkan juga dapat melahirkan bakal-bakal Pustakawan yang bijak dalam memanafaatkan perkembangan teknologi semasa yang membentuk perkembangan kerjaya kepustakawanan mereka di masa depan. Kompetensi professional pelajar-pelajar dalam bidang sains perpustakaan harus dibina di mana segala pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan perlu ditanamkan dalam setiap diri mereka.

KE ARAH TRANSFORMASI PUSTAKAWAN ERA DIGITAL: MODAL INSAN BERKUALITI

23. Bagi membentuk modal insan berkualiti, adalah penting bagi perpustakaan untuk terus menyediakan latihan yang diperlukan oleh kakitangannya. Pustakawan yang berilmu dan berkemahiran tinggi khususnya di dalam bidang ICT, pendigitalan koleksi dan teknologi Internet sememangnya diperlukan di era digital ini.

Kompetensi warga perpustakaan hendaklah senantiasa dibangunkan, khususnya yang berkaitan pengorganisasian dan pendokumentasian sumber digital, pengekstrakan metadata, carian dan dapatan semula maklumat, pengurusan repositori digital dan yang berkaitan dengannya. Pustakawan Professional haruslah bijak di dalam mengeksploitasi dan memanafaatkan teknologi-teknologi terkini dan memikirkan idea-idea baru tentang bagaimana untuk menyampaikan perkhidmatan perpustakaan digital secara lebih berkesan.


24.  Kepada semua Pustakawan yang sedang menempuh alam pekerjaan pula, saya berharap agar anda belajar dan terus belajar untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru supaya kita tidak ketinggalan di dalam arus perkembangan teknologi semasa. Tingkatkanlah pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan dalam perkara berkaitan, khususnya menerusi pembacaan dan hadirilah bengkel-bengkel, kursus atau majlis-majlis ilmu agar anda sekalian dapat manafaat daripadanya. Saya pasti kita semua juga sedar bahawa kita, pustakawan berada dalam setiap golongan masyarakat, daripada peringkat tadika kepada universiti, daripada golongan kurang berkemampuan kepada di tengah-tengah golongan bijak pandai korporat. Sebagai pustakawan masa akan datang, tuan/tuan dan puan/puan juga perlu berupaya mengimbangi etika professional dan pembelajaran dengan persekitaran sosial di mana kita bekerja.

KE ARAH TRANSFORMASI PUSTAKAWAN ERA DIGITAL: KRITERIA YANG DIPERLUKAN

Untuk bergelar Pustakawan era digital, kita perlu mempunyai kriteria-kriteria seperti berikut;
i.     Mengusai ICT di dalam bidang kepustakawanan
ii. Pakar dalam membina pangkalan data dan mengangani isu berkaitan hak cipta dan harta intelek
 iii.  Penggerak Kempen Membaca dan Pelan strategik Perpustakaan Digital
iv. Menghasilkan produk kreatif dan menguasai perkhidmatan perpustakaan digital (50% koleksi dalam bentuk digital)
v.    Pakatan strategik dengan pakar ICT, penerbit, penulis, ahli akademik dan NGO.
 vi.  Menggandakan usaha dan melonjakkan perkhidmatan dari hanya sebagai Pusat Penyimpanan Koleksi Digital kepada Pusat Pengaksesan Maklumat Negara.
vii.  Mencipta idea kreatif dan inovatif dalam memasarkan dan mempromosikan perkhidmatan perpustakaan yang disediakan dengan meggunakan media social.
viii. Perlu menyesuaikan diri dan bersedia dalam konteks pengurusan perpustakaan berteraskan “Cybermanagement”

HARAPAN & PENUTUP

Hadirin sekalian,

25.   Adalah menjadi harapan saya agar seminar ini dapat memberi faedah dan manafaat kepada para peserta sekalian. Saya percaya, menerusi pembentangan kertas-kertas kerja yang akan dibentangkan oleh para pembentang kertas kerja selepas ini, tuan-tuan dan puan-puan akan dapat memperolehi pengetahuan dan mempelajari pengalaman mereka, di dalam membangunkan sumber elektronik khasnya dan perpustakaan digital amnya.

26.  Akhir kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur dan ucapan syabas dan tahniah kerana berjaya menganjurkan seminar ini.

Selamat berseminar.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.



RUJUKAN


Kuny, Terry & Gary Cleveland. `The Digital Library: Myths and Challenges’. Accessible from http://ifla.queenslibrary.org/iv/ifla62/62-kuny.pdf 

Nimai Chand Saha & Mrinal Kanti Das. `Human Resource Aspect in Digital Library Era’. Paper presented in the 4th Convention Planner, held at  Mizoram University, Aizawl, Ahmedabad, 9-10 November 2006. Accessible from http://ir.inflibnet.ac.in/dxml/bitstream/handle/1944/1221/210-221.pdf?sequence=1

Shahar Banun Jaafar. `Professionalism and Librarianship in the Digital Age’. Paper presented at the Sesi Pembangunan Profesionalisme Pustakawan, PNM on the 6th April 2009. (unpublished). Accessible from http://knowledgebank.pnm.my/

Smalls, Mary L. `The Library Profession In The 21st Century:  Transformation for Survival’. Paper presented at the Georgia Library Association 1985 Biennial Conference, held at Augusta, GA on October 25, 1985. Accessible from EBSCOHost,  http://www.eric.ed.gov/PDFS/ED267818.pdf

Smith, Gregory A.`Retooling the Profession: Librarianship in an          
            Era of Accountability and Competition’. Faculty Publications
            and Presentations. Paper 47. Accessible at



Teks ucapan ikhsan Jawatankuasa Seminar.










Comments

Popular Posts