Perjumpaan Pagi
Dahulu ... Masa sekolah, semua murid akan berkumpul di perhimpunan pagi. Ada ucapan dari guru besar dan guru disiplin. Banyak maklumat yang disampaikan kepada kita pada pagi
tersebut. Ingat lagikan, guru pesan suruh bayar yuran sekolah, pesan supaya
tidak duduk dalam kelas pada waktu rehat dan macam-macam lagi. Kadang-kadang cikgu
maklumkan tentang kejayaan sekolah, dan bila ada pasukan bola atau sesiapa yang
menang acara sukan mereka akan dipanggil menerima pingat di atas pentas. Masa itu semua orang rasa gembira dan kita boleh lihat senyuman semua guru-guru. Tetapi yang
paling teruk bila ada yang kena rotan atas pentas kerana pelbagai
kesalahan. Tiada senyuman, semuanya
kecut. Walau bagaimanapun ada juga kawan-kawan yang kena rotan itu sekarang sudah menjadi kontraktor besar, tentu banyak
yang sekolah mengajar mereka dan kita juga. Lepas habis perhimpunan Pengawas Sekolah membuat
pemeriksaan pakaian, lencana dan kasut.
Kalau tidak pakai lengkap kena pula tahanan dalam kelas, orang balik
awal kita kena belajar sendiri tambahan satu masa lagi. Begitulah cara guru nak
disiplinkan kita. Putaran hidup kita begitu cepat berlalu dan cerita tentang
himpunan pagi kekal sampai sekarang.
Kini,... lupakan cerita sekolah. Itu mukhadimah sahaja. Cerita
sebenarnya ialah tentang perjumpaan pagi apabila saya sudah berkerja. Ada unit
yang menjalankan perjumpaan setiap pagi sebelum memulakan kerja. Ada yang
memulakan kerja dengan berdoa dahulu. Ada yang memulakan waktu bekerja dengan
mendengar lagu korporat jabatan. Ada juga yang memperdengarkan lagu Negaraku.
Pengalaman berada di bawah pelbagai ketua jabatan membolehkan kita mengalami
pelbagai kaedah yang baik dalam memulakan tugas di waktu pagi.
Sekarang bila diberi
tanggungjawab mengurus sepenuhnya, amalan perjumpaan pagi kembali diperkenalkan kepada
staf. Kaedahnya mudah sahaja, ianya diadakan pada setiap pagi Isnin dan kadang-kadang hari lain cuma bilangannya hanya sekali seminggu. Masa yang diambil sekitar 25 ke 30 minit. Selalunya akan bermula seawal
pagi selepas staf sampai ke pejabat. Perjumpaan pagi dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab. Memberi
nasihat kepada staf tentang tanggungjawab kita kepada Maha Pencipta. Ianya ringkas tetapi padat. Kemudian ketua akan menyampaikan apa-apa makluman jabatan dan
juga tentang apa yang akan berlaku di dalam kampus sepanjang minggu. Begitu
juga perkara-perkara penting yang perlu disampaikan kepada staf hasil dari
mesyuarat pengurusan tertinggi. Selain itu, ketua-ketua unit juga diminta
memaklumkan apa-apa perkara yang semua staf perlu tahu.
Perjumpaan pagi suatu kaedah penyampaian maklumat secara
ringkas. Kalau adapun soal jawab ianya sedikit dan selesai dengan cepat. Bila
ada isu yang besar yang diketengahkan oleh staf dalam perjumpaan pagi ianya
akan dibawa kepada mesyuarat yang sebenarnya.
Perjumpaan pagi diakhiri dengan doa dan bersalaman antara staf.
Kebaikan disebalik perjumpaan pagi secara tidak sedar
adalah:
- Ketua boleh mengetahui staf yang hadir dan tidak hadir,
- Perkara yang berlaku dan akan berlaku dapat diketahui dengan cepat,
- Tindakan segera dapat dibuat dari maklumat yang diterima,
- Semua staf menerima maklumat yang sama dan mengambil tindakan yang diminta,
- Meningkat keyakinan staf untuk bercakap dikhalayak ramai dengan meminta mereka menyedia dan memberi maklumat kepada semua staf.
- Staf pentadbiran dapat menyampaikan perkeliling jabatan untuk peringatan semua staf,
- Semuanya diselesaikan dalam 30 minit sahaja. Cepat dan ringkas.
- Kita memulakan tugas dengan mengingati Pencipta Kita dan mengakhirinya dengan memohon pertolongan dariNya.
Comments